IPOH – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Program Perak Pawsitive Initiative 2025 Daerah Kinta di Dewan Bulan Sabit Merah pada Rabu.
Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Aezer Zubin dan Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Dalam majlis itu, Tuanku Zara turut berkenan menyempurnakan lafaz rasmi dan gimik perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Tuanku Zara kemudiannya meninjau ruang pameran serta melihat proses pemandulan yang dijalankan oleh pada program tersebut.
Terdahulu, Sandrea dalam ucapannya berkata, program tersebut adalah kempen kesedaran dan program pemandulan bersubsidi yang bertujuan mengurangkan populasi haiwan terbiar di negeri Perak.
Menurutnya, inisiatif ini turut merangkumi program vaksinasi dan pemeriksaan kesihatan haiwan secara percuma serta aktiviti lain yang berkaitan dengan kebajikan haiwan.
“Masalah haiwan terbiar bukanlah isu yang lahir semalam dan ia tidak akan selesai pada hari esok.
“Ia bukan sekadar persoalan kebersihan atau ketenteraman awam, tetapi sudah menjadi isu keselamatan, keharmonian masyarakat bahkan menyentuh sensitiviti agama dalam komuniti kita.
“Namun kita perlu jelas, puncanya bukanlah daripada haiwan itu sendiri. Puncanya ialah daripada sikap manusia khususnya pemilik haiwan yang tidak memandulkan haiwan peliharaan, membiarkan pembiakan tanpa kawalan, dan akhirnya melepaskan mereka ke jalanan.
“Tanggungjawab pemilikan ini adalah asas; jika setiap pemilik mengambil langkah pencegahan yang betul, masalah ini dapat dibendung sejak awal,” katanya.
Beliau berkata, sehingga April lalu, sebanyak 1,421 aduan berkaitan anjing terbiar direkodkan daripada 15 pihak berkuasa tempatan (PBT)
“Sepanjang tempoh tersebut, 538 operasi telah dijalankan yang melibatkan 2,171 tangkapan anjing.
“Angka ini adalah cerminan betapa seriusnya isu ini, dan mendorong kita untuk mewujudkan pendekatan yang seimbang, berkesan dan insani,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sedia ambil langkah undang-undang isu tular pelupusan anjing