KUALA LUMPUR – Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dijadualkan memutuskan sebutan kes esok bagi menetapkan tarikh-tarikh pendengaran inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut Jabatan Peguam Negara, pihaknya akan mengemukakan permohonan agar kes tersebut dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Jabatan ini akan memohon agar permohonan kes ini dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
Inkues itu dijangka memberi gambaran lebih jelas berhubung punca kematian Zara Qairina yang telah menarik perhatian umum dan mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC), esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu dibuat selepas pasukan khas yang ditubuhkan melaksanakan siasatan lanjut seperti diarahkan sebelum ini.
M Kumar berkata, setakat ini seramai 195 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Saksi-saksi terbabit terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta lain-lain saksi yang relevan dengan siasatan.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai. – MalaysiaGazette