TVET ubah hidup dan kerjaya dua graduan kulinari

BIDANG Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan ia kini menawarkan peluang pekerjaan lebih cerah kepada graduannya.

Persepsi segelintir masyarakat yang meletakkan bidang profesional sebagai keutamaan dalam kerjaya masing-masing perlu diubah memandangkan bidang kemahiran juga tidak kurang hebatnya pada era kini.

Di Perak misalnya, mempunyai ekosistem latihan kulinari yang lengkap dan tersusun, merangkumi lebih 30 institusi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai latihan dalam bidang kulinari serta makanan dan minuman (F&B).

Daripada jumlah tersebut, 13 merupakan Kolej Komuniti yang menawarkan kursus kulinari secara berstruktur, di samping GIATMARA, Kolej Vokasional dan Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng yang turut melatih generasi muda dalam bidang ini.

Kekuatan rangkaian ini memberi kelebihan kepada Perak untuk membina reputasi sebagai hab latihan kulinari utama negara, seiring dengan agenda pembangunan TVET yang menjadi teras Perak Sejahtera 2030.

Para juri melakukan penilaian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Majlis Perasmian Malaysia Culinary World Cup 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 JUN 2025.

Perkara itu dibuktikan sendiri oleh dua graduan Akademi Haaza Centre of Excellence (Akademi Haaza) yang dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik bagi Penyediaan dan Pembuatan Makanan serta Pelatih Terbaik bagi Pembuatan Pastri.

Bagi Nur Shazeren Iskandar Saharudin, 25, yang menerima anugerah Pelatih Terbaik bagi Penyediaan dan Pembuatan Makanan, tawaran yang diterimanya untuk bekerja di Australia membuktikan bidang TVET menyediakan laluan kerjaya yang cerah kepada graduannya termasuk ke luar negara.

Bagaimanapun, anak kedua daripada lima beradik ini terpaksa menolak tawaran tersebut ekoran mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu menjaga ibu yang kurang sihat selain membantu ayah yang masih bekerja meskipun sudah berusia.

Menceritakan perjalanannya dalam bidang kulinari, Nur Shazeren berkata, dia memasuki bidang berkenaan pada usia 18 tahun selepas membuat keputusan meninggalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Automotif.

“Sebelum ini saya pelatih SKM tahap dua bagi bidang automotif daripada tingkatan satu hingga tiga, namun selepas itu saya bertukar kepada bidang kulinari.

“Ini kerana saya tertarik dengan peluang yang ada dalam bidang kulinari memandangkan makanan merupakan perkara yang semua orang suka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi Akademi Haaza Centre of Excellence 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina, baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan anugerah Pelatih Terbaik (Penyediaan dan Pembuatan Makanan) kepada Nur Shazeren Iskandar Saharudin pada Majlis Graduasi Haaza Centre of Excellence 2025 di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Lebih bermakna anugerah berkenaan di sampaikan sendiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyokong penuh bidang TVET dengan sasaran menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara.

Pernah ditawar bekerja di Australia

Ditanya bagaimana peluang pekerjaan dalam bidang kulinari Nur Shazeren berkata, dia dan rakan-rakan tidak berhadapan masalah memandangkan bidang kulinari sentiasa memerlukan mereka yang mempunyai kemahiran dan kelulusan.

Katanya, dia sendiri pernah ditawarkan untuk bekerja di Australia namun terpaksa ditolak bagi memenuhi tanggungjawab menjaga ibu yang kurang sihat.

“Saya pernah dapat tawaran kerja di Australia tapi terpaksa tolak sebab ibu kurang sihat selain ayah saya semakin berusia tetapi masih bekerja untuk anak-anak.

“Alhamdulillah rezeki tetap ada apabila saya ditawarkan bekerja di salah sebuah hotel di Ipoh yang mana lebih dekat dengan keluarga serta memudahkan saya menjaga mereka,” katanya.

Nur Shazeren berkata, selain daripada peluang pekerjaan dia juga tidak menjangka menerima pengiktirafan akademik sebagai Pelatih Terbaik bagi Penyediaan dan Pembuatan Makanan pada Majlis Graduasi Akademi Haaza Centre of Excellence 2025.

Penerima anugerah Pelatih Terbaik (Penyediaan dan Pembuatan Makanan), Nur Shazeren Iskandar Saharudin pada Majlis Graduasi Haaza Centre of Excellence 2025 di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Perasaan saya terujalah kerana tidak sangka terpilih menjadi yang terbaik memandangkan kawan-kawan yang lain juga sama-sama hebat.

“Ini adalah hadiah buat kedua-dua orang tua yang sentiasa menyokong kejayaan anak mereka hingga berjaya,” katanya.

Terima bantuan pengajian dari MAIPk

Kejayaan Nur Shazeren turut didorong oleh bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menaja sepenuhnya pengajiannya selama sembilan bulan di akademi berkenaan.

Tajaan bernilai RM20,000 itu meliputi yuran, peralatan, penginapan termasuk elaun RM600 sebulan.

Menurut beliau, bantuan yang diterimanya itu membantu dia menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi memandangkan dia berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan .

“MAIPk membantu suntuk penginapan dan juga elaun di mana ia meringankan beban keluarga serta memudahkan golongan seperti saya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan masyarakat terhadap graduan TVET Nur Shazeren berkata, meskipun ada yang memandang enteng dengan graduan TVET dia tidak pernah merasa rendah diri memandangkan setiap bidang mempunyai kelebihan masing-masing.

“Bidang apa sekali pun jika kita benar-benar berusaha hingga berjaya ia akan menyediakan peluang yang lebih cerah dan itu berjaya saya buktikan.

“Meskipun saya tidak memiliki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya mampu sampai ke tahap sekarang dan kepada golongan muda di luar sana jangan pernah mengalah kerana kira tidak pernah tahu rezeki kita,” katanya.

Sokongan keluarga penting buat graduan TVET

Bagi seorang lagi graduan TVET, Mohammad Zaim Mohamad Ibrahim, 23, keputusan menceburi bidang kulinari ternyata tepat apabila dia di anugerahkan Pelatih Terbaik bagi Pembuatan Pastri pada Majlis Graduasi Akademi Haaza Centre of Excellence 2025.

Penerima anugerah Pelatih Terbaik (Pembuatan Pastri), Muhammad Zaim Mohd Ibrahim pada Majlis Graduasi Haaza Centre of Excellence 2025 di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 OGOS 2025

Tidak sekadar itu, dia juga kini bekerja di salah sebuah hotel di Pulau Pinang selain berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Saya bermula dari kosong tanpa ada pengalaman atau ilmu mengenai pembuatan pastri tetapi selepas mengikuti SKM tahap dua dan tiga keyakinan itu tinggi.

“Alhamdulillah perjalanan saya di dalam bidang kulinari ini dipermudahkan dan begitu juga dengan pekerjaan dan saya menyimpan harapan untuk bekerja di hotel terkemuka satu hari nanti,” katanya.

Mohamad Zaim juga berkata, sokongan dan galakkan keluarga turut memainkan peranan penting kepada pelajar TVET untuk berjaya.

“Selain keluarga kita juga harus percaya dengan kemampuan diri sendiri dan jangan pernah berputus asa, perbaiki kekurangan dan teruskan usaha.

“Alhamdulillah saya sebelum ini bermula dari kosong dan siapa sangka menjadi antara pelatih terbaik dalam bidang yang saya ceburi,” katanya. -MGPerak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI