IPOH – Kajian mengenai kepimpinan wanita sebagai ibu yang dijalankan di Perak menjadi panduan penting kepada kerajaan negeri untuk merangka program berkesan, namun usaha itu tidak mampu digerakkan secara silo.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri memerlukan rakan strategik supaya maklumat dan usaha tersebut dapat diperluaskan.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja mencerminkan komitmen tinggi terhadap pemberdayaan wanita, malah membuktikan kesungguhan untuk memperoleh data yang lebih tepat dan sahih melalui tatacara penyelidikan yang sistematik dan beretika.
“Hasil kajian yang dibentangkan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Aziah Ismail itu menunjukkan kepimpinan wanita dalam konteks keibuan perlu diberi perhatian serius.
“Pada masa sama, hasil dapatan tersebut membuktikan wanita berperanan besar bukan sahaja sebagai isteri atau majikan, tetapi juga sebagai pemimpin dalam keluarga.
“Bila kita bercakap soal kepimpinan wanita, ia tidak semestinya dalam organisasi. Kepimpinan itu bermula dalam keluarga. Dari sinilah lahirnya kesejahteraan masyarakat dan masa depan negara.
“Kalau keluarga tidak stabil, ia memberi kesan besar kepada pembentukan anak-anak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi pembentangan kajian bertajuk Pengaruh Kepimpinan Ibu Terhadap Motivasi Belajar Anak-Anak di Perak: Penghargaan Kendiri Ibu Sebagai Mediator di Dewan Auditorium Kompleks Pejabat Kementerian Dalam Negeri di sini pada Selasa.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, antara isu utama yang dikenal pasti dalam kajian tersebut ialah aspek sokongan sosial, kesihatan mental ibu, kefahaman terhadap peranan sebenar seorang ibu serta kepentingan memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak.
“Selalunya kita buat program tanpa data yang jelas. Kajian ini penting kerana ia menunjukkan punca sebenar masalah, terutama dalam kalangan ibu yang tidak melihat pendidikan sebagai keutamaan,” katanya.
Salbiah berkata, kajian yang dibiayai oleh kerajaan negeri melalui Wanita Perak antara yang pertama seumpamanya dijalankan di Perak serta jarang dilakukan di peringkat nasional.
Beliau turut menegaskan, hasil kajian ini bukan sahaja akan dijadikan panduan oleh kerajaan negeri dalam merangka program, malah turut dibuka untuk diguna pakai oleh pelbagai pihak. – MG Perak
Artikel Berkaitan: