IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) kali ke-54 di Kelab Golf Diraja Perak, dekat sini, pada Selasa.
Acara yang menjadi medan persahabatan dua universiti itu turut dihadiri Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Sultan Nazrin adalah Canselor Universiti Malaya manakala Presiden Tharman merupakan Canselor Universiti Nasional Singapura.
Kejohanan yang bermula sekitar jam 8 pagi itu disertai 54 orang peserta mewakili UM dan 54 peserta mewakili NUS.
Menerusi kenyataan media, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertemuan di padang golf, tetapi juga simbol pengukuhan hubungan dua hala antara dua universiti.
Katanya, kejohanan itu juga turut menjadi lebih bermakna dengan sambutan 120 tahun sejarah hubungan yang terjalin antara UM dan NUS.
“Hubungan kukuh yang terjalin dalam bidang akademik dan penyelidikan akan terus menjadi sinar harapan untuk masa depan, serta bukti persahabatan dan persaudaraan yang menjadi lambang kekuatan negara bagi kedua-dua negara.
“Saya berharap bahawa UM dan NUS terus menjadi peneraju utama bagi membentuk minda, membina kepercayaan, dan membentuk masa depan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: