IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP) di sini, pada Khamis.
Mengiringi keberangkatan baginda, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Turut hadir ke majlis, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; serta Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr Afifi al-Akiti.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan al-Quran serta sembah ucapan Pengerusi UniKL RCMP dan Timbalan Perdana Menteri.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak Majlis Sambutan Jubli Perak UniKL RCMP.
Selepas itu, baginda berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Handbook of Rheumatoid Arthritis and Images in Rheumatology’ yang dihasilkan Prof Datuk Wahinuddin Sulaiman dan Dr Ainon Mohd Mokhtar.
Buku berkenaan merupakan naskhah pertama dalam bidang reumatologi diterbitkan di Malaysia dan menjadi rujukan utama bagi pelajar perubatan, pengamal kesihatan, pesakit serta penjaga.
Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan melancarkan buku Modul Usrah Kontemporari dan Smart Circle Module.
Buku yang menumpukan kepada pembangunan modal insan golongan huffaz profesional itu ditulis Pensyarah dan Koordinator Program Huffaz Profesional Kolej Diraja, Muhammad Asyraf Saifudin, dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).
Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke ruang pameran di bangunan UniKL RCMP serta menyaksikan pelancaran Blok Al-Zahrawi yang menempatkan Fakulti Perubatan serta Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan Bersekutu.
Perjalanan sejarah UniKL RCMP bermula dengan titah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang menitahkan penubuhan sebuah kolej perubatan di Negeri Perak.
Bermula dengan ASEAN-Sheffield Medical College pada tahun 1996, ia kemudian diteruskan dengan penubuhan Royal College of Medicine Perak, yang asalnya bergelar Perak College of Medicine, pada 18 Februari 1999.
Kolej Diraja itu memulakan operasinya pada 2 September 1999 di bawah perjanjian francais yang dimeterai bersama dengan University of Sheffield.
Ia kemudian dikurniakan Watikah Status Diraja oleh Sultan Perak dan secara rasmi menggunakan nama Kolej Diraja Perubatan Perak atau RCMP pada 27 Februari 2004.
Pada 3 Ogos 2006, kolej berkenaan mula dikendalikan MARA melalui UniKL selepas agensi itu memperoleh pegangan saham majoriti dalam RCMP.
Sehingga kini, UniKL RCMP menawarkan 18 program bermula daripada peringkat diploma hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dengan kapasiti pelajar hampir 3,600 orang serta 400 orang kitangan akademik dan bukan akademik. – MG Perak
Artikel Berkaitan: