Bekas anggota TLDM dilepas, bebas tuduhan amang seksual, rogol

IPOH – Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan amang seksual dan rogol remaja perempuan 17 tahun empat tahun lalu.

Hakim, Jean Sharmila Jesudasan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Muhazzam Shah Salem, 40, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Jean Sharmila berkata, selepas mahkamah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan saksi-saksi serta melihat kepada fakta kes, pembuktian, dan pertuduhan, terdapat elemen tidak konsisten dan kelompongan dalam kes pendakwaan.

Katanya, kes pendakwaan tidak dapat menjelaskan melalui siasatan pihak polis atau keterangan saksi-saksi terutamanya saksi pendakwaan (SP1) iaitu mangsa seterusnya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes mahkamah.

“Maka mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie dan memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Perbicaraan kes yang bermula pada Oktober 2024 dan berakhir pada 26 Mei tahun ini telah melibatkan enam orang saksi termasuk dua orang doktor daripada Hospital Seri Manjung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Pada 31 Disember 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan rogol terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Dia yang pada ketika itu berusia 36 tahun didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di bilik tidur sebuah pangsapuri di Lumut sekitar jam 11 malam pada 17 Disember 2021. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pesara tentera mengaku tidak salah rogol anak kandung hingga hamil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI