Industri tenusu di Perak sumbang ketersediaan makanan segar, pendapatan penternak

INDUSTRI tenusu di Perak berpotensi besar dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara selari dengan matlamat nasional dalam pengeluaran makanan segar.

Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 keterjaminan makanan diletakkan sebagai flagship pertama dengan sasaran memastikan bekalan makanan yang stabil, mencukupi, dan berkualiti untuk rakyat.

Dalam kerangka keterjaminan makanan ini, sektor tenusu merupakan komponen penting yang bukan sahaja membekalkan sumber protein berkualiti tinggi, malah mempunyai rantaian nilai yang luas daripada pengeluaran di ladang, pemprosesan, hinggalah ke pasaran pengguna.

Perkara ini diakui sendiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memaklumkan walaupun negeri ini sedang giat membangunkan sektor industri di segenap daerah, namun Kerajaan Perak tidak pernah meminggirkan sektor sekuriti makanan.

Katanya, Perak melihat potensi besar industri tenusu untuk berkembang, sekali gus menyumbang kepada matlamat nasional dalam pengeluaran makanan segar.

Bercakap Kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, industri tenusu di Perak menyumbang sekitar 13 peratus kepada susu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan susu kepada anak lembu pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF.

Menurut beliau, meskipun industri berkenaan di Perak mempunyai potensi besar namun jumlahnya masih lagi kecil ekoran nilai relatif yang rendah.

Dr Zainizam berkata, kejayaan industri tenusu di Perak pada masa hadapan juga bergantung kepada pelaburan baharu seperti Lembah Tenusu di Larut, Matang dan Selama (LMS) dan kompleks Farm Fresh yang menaikkan kapasiti serta membuka peluang pekerjaan.

Tambahnya, selain itu juga ia bergantung kepada keupayaan menghasilkan produk nilai tambah seperti yogurt, mentega dan aiskrim, penglibatan koperasi dan penambahan pusat pengumpulan untuk memperkukuh rantaian bekalan.

“Kemampuan mengatasi cabaran seperti kos makanan ternakan, ketidakseimbangan saiz Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), risiko kualiti dan kebergantungan kepada satu syarikat besar juga memainkan peranan.

“Contohnya, keupayaan industri ini untuk menyumbang lebih besar terletak pada pembangunan produk hiliran bernilai tinggi seperti yogurt, mentega, keju dan aiskrim,” katanya.

Perluas sokongan kepada penternak kecil dan koperasi

Justeru itu, Dr Zainizam berkata, beberapa mekanisma boleh dilaksanakan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuhkan industri tenusu di Perak dalam mengurangkan kebergantungan kepada sebuah syarikat sahaja.

Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya

Ujar beliau, kerajaan negeri boleh memperluaskan sokongan kepada penternak kecil dan koperasi melalui penyediaan geran atau pinjaman bersubsidi bagi pembelian baka tenusu berkualiti, pembinaan kandang dan penyediaan padang ragut.

“Kedua, menaik taraf pusat pengumpulan seperti di Bagan Datuk, Parit dan Tapah yang wajar dilengkapi peralatan penyejukan moden, sistem pemantauan kualiti dan rangkaian logistik.

“Selain itu, penubuhan PPIT baharu di kawasan yang belum diterokai juga boleh dipertimbangkan kerana ia boleh merangsang penyertaan penternak baharu,” katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan negeri memperbaiki sistem pemasaran dan penjenamaan seperti kempen promosi ‘Susu Perak’ yang menekankan kualiti dan kesegaran dalam meningkatkan permintaan.

“Kerajaan negeri boleh memudahkan kemasukan produk tenusu tempatan ke sekolah, hospital dan pasar raya melalui perjanjian pembelian terus dengan pihak berkaitan.

“Kerajaan negeri juga melalui agensi berkaitan memperkenalkan program pembangunan produk hiliran melalui penyediaan makmal pemprosesan skala kecil serta bimbingan bagi usahawan menghasilkan yogurt, keju, aiskrim dan mentega.

“Ini akan menambah nilai kepada susu tempatan dan membuka peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF.

Dr Zainizam berkata, melalui inisiatif-inisiatif ini, Perak bukan sahaja boleh meningkatkan pengeluaran dan nilai tambah industri tenusu tetapi juga memastikan faedahnya dinikmati secara lebih meluas oleh penternak dan komuniti setempat.

Beliau berkata, industri tenusu Perak melalui PPIT, Farm Fresh, dan projek Lembah Tenusu memberi sumbangan secara langsung kepada ketersediaan makanan segar dan pendapatan golongan peternak.

“Dalam konteks Perak Sejahtera 2030, ia berperanan memperkasakan ketahanan makanan melalui pendekatan pendidikan, penyelidikan, teknologi, dan sistem nilai agromakanan oleh komuniti.

“Keseluruhan inisiatif ini memperkukuh keupayaan negeri menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan di masa hadapan, selaras dengan visi ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’,” katanya.

Untuk rekod, Kompleks Tenusu Farm Fresh di Perak kini merupakan antara fasiliti tenusu paling moden di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran 33,000 liter susu sehari. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Industri tenusu di Perak berpotensi sumbang keterjaminan makanan negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI