Perak bentang RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini mendengar pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.

Enakmen baharu berkenaan dibentangkan Menteri Besar yang juga ADUN Barisan Nasional (BN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi bacaan kedua yang kemudian disokong Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning).

Saarani berkata RUU berkenaan merupakan langkah penting bagi menggantikan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.

Menurut beliau, enakmen baharu itu memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di Perak, agar lebih teratur, berkesan dan mampu memenuhi cabaran zaman.

“Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 merupakan undang-undang yang mengawal pendaftaran dan urus tadbir sekolah-sekolah agama Islam di negeri Perak.

“Namun, sejak mula berkuat kuasa lebih dua dekad lalu, enakmen tersebut tidak pernah dipinda, sehingga didadapati banyak peruntukan yang kini sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dengan realiti semasa,” katanya.

Menurut Saarani, sebelum dibentangkan cadangan RUU tersebut telah melalui proses penelitian yang rapi dan diperhalusi dalam beberapa siri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penggubalan.

Jelas beliau, ia kemudiannya diangkat untuk dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah Negeri Perak, sebelum akhirnya dibentangkan kepada Persidangan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak pada 26 Jun 2025, dan diluluskan.

“Selanjutnya Rang Undang-Undang ini telah diangkat dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bilangan 2190 bertarikh 06 Ogos 2025 bagi membolehkan ianya dibentang untuk dibahas dan diluluskan oleh Dewan Negeri Perak,” katanya.

Saarani berkata RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang dicadangkan itu mengandungi lapan bahagian dan 30 fasal seperti berikut:

Bahagian I
Fasal 1 – 2 memperuntukan bagi perkara permulaan termasuk tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa dan tafsiran perkataan dan ungkapan tertentu yang digunakan dalam Enakmen.

Bahagian II
Fasal 3 – 5 memperuntukan perkara berhubung kuasa Majlis dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan melantik Ketua Pendaftar, Timbalan Ketua Pendaftar dan Pendaftar.

Bahagian III
Fasal 6 – 10 memperuntukkan perkara berhubungan dengan penubuhan dan pendaftaran sekolah.

Bahagian IV
Fasal 11 – 15 memperuntukkan perkara berhubungan dengan Jemaah Pengurusan.

Bahagian V
Fasal 16 – 17 memperuntukkan perkara berhubung dengan Akaun Sekolah.

Bahagian VI
Fasal 18 – 20 memperuntukkan perkara berkaitan Nazir sekolah.

Bahagian VII
Fasal 21 memperuntukkan perkara berkaitan penutupan sekolah.

Bahagian VIII
Fasal 22 – 30 memperuntukkan perkara berkaitan pelbagai.

Beliau berkata, dengan RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang dicadangkan, pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di negeri dilihat mampu diurus dengan baik dan efisien selaras dengan peruntukan undang-undang dan dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak, khususnya yang beragama Islam.

“Kesimpulannya, Rang Undang-Undang Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 ini adalah manifestasi kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sistem pendidikan agama Islam di Perak.

“Ia bukan sekadar pindaan perundangan, tetapi satu ikhtiar besar untuk memastikan sekolah-sekolah agama Islam terus terpelihara, terurus dengan baik, dan berperanan sebagai medan melahirkan generasi berilmu, beriman serta berakhlak mulia,” katanya.

Sejurus dibentangkan, RUU berkenaan dibahaskan oleh seramai 15 orang ADUN terdiri daripada lima wakil kerajaan dan 10 lagi daripada blok pembangkang. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI