IPOH – Kerajaan Negeri Perak kini giat berusaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi menyokong pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara langkah yang diambil termasuk meminta 62 institusi TVET di seluruh negeri menyediakan program bersesuaian bagi mengisi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan melalui pembangunan projek mega.
Menurutnya, pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Lumut sahaja memerlukan 3,000 jurukimpal, selain ribuan lagi tenaga mahir turut diperlukan bagi projek Terowong Pemindahan Air Sungai Perak ke Bukit Merah di Kerian yang akan dijalankan kelak.
“Kita sedang ‘all out’ (untuk menyediakan lebih ramai tenaga mahir tempatan) kerana kita tidak mahu para pelabur memperlekehkan usaha yang sedang kita buat ini (pembangunan projek mega).
“Misalnya bagi bidang kimpalan, kita kena ‘all out’ menyediakan 3,000 tenaga mahir itu untuk pembangunan RGT Ketiga di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) serta ribuan jurukimpal untuk projek terowong pemindahan air Sungai Perak ke Bukit Merah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) ketika Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut berusaha menarik minat lebih ramai anak muda terhadap bidang TVET melalui pelaksanaan agenda Koridor TVET Negara.
“Kita sedang all out turun padang bukan sahaja kepada pelajar, malah guru dan ibu bapa bagi ubah persepsi bahawa sijil TVET bukan sijil kelas kedua,” jelas beliau.
Mengulas perkembangan industri nadir bumi (REE), Saarani memaklumkan, Perak kini bekerjasama dengan pelabur dari Jepun dan Korea yang berpengalaman dalam proses penghalisan produk akhir.
Jelas beliau, melalui pembangunan industri itu serta serta hab tenaga dan maritim menjadikan Perak sebagai pemain penting dalam geopolitik ekonomi global.
“Unsur bumi nadir adalah komponen kritikal dalam penghasilan bateri, panel solar, dan peralatan elektronik, manakala RGT di Lumut mengukuhkan jaminan tenaga negara.
“Kedudukan strategik ini meletakkan Perak pada peta dunia sebagai negeri yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi domestik, tetapi juga penting kepada kestabilan rantaian bekalan global,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KAMU 2025 tumpu TVET, tampil bakat belia Orang Asli