IPOH – Bekas pengarah sebuah syarikat kuari didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyimpan 6,191 liter diesel tanpa permit, dua tahun lalu.
Tertuduh, Lee Ting Sing, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didapati telah melanggar Peraturan 18(1), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki 6,191 liter bahan api diesel yang merupakan barang kawalan berjadual yang digunakan dalam perjalanan perniagaan Nss Infraworks Sdn Bhd tanpa kebenaran pengawal.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Mukim Hulu Kinta dekat Kanthan, Chemor pada jam 3 petang, 16 Mac 2023.
Pertuduhan itu dijalankan mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala kesalahan kedua atau kesalahan berulang, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Hanif Abd Azis manakala tertuduh diwakili peguam bela, S Morgan.
Morgan memohon supaya hukuman denda minimum dikenakan ke atas lelaki terbabit memandangkan dia hanya memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan serta perlu menanggung lima orang anak termasuk seorang yang masih belajar.
“Dalam kes ini dia hanya menyimpan diesel di premis dan sedang mendapatkan permit menyimpan selang enam hari kemudian.
“Ia hanya salah faham antara mereka dengan syarikat yang membekalkan diesel. Jadi, mohon denda paling minimum,“ katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Hanif memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas lelaki terbabit supaya dia tidak mengulangi kesilapan sama dan mencadangkan denda RM15,000 terhadap tertuduh.
Ainul Shahrin kemudiannya menetapkan tertuduh didenda RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar serta memerintahkan supaya wang jualan diesel yang dirampas sebanyak RM16,715.70 dilucuthak kepada kerajaan.
Tertuduh membayar denda tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemborong didakwa jual 10,920 liter diesel kepada syarikat tidak berlesen