Pembangkang di Perak gagal main peranan, bercelaru – Arafat

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa pembangkang di Perak kini berada dalam keadaan tidak stabil dan bercelaru.

Menurut beliau kelemahan berkenaan jelas menunjukkan kegagalan peranan pembangkang di negeri ini sehingga gagal memainkan peranan semak dan imbang dengan berkesan.

Beliau berkata, situasi dalaman melibatkan kepimpinan serta hubungan antara parti dalam blok pembangkang dilihat semakin meruncing.

“Keadaan ini menyebabkan mereka tidak fokus kepada kepentingan rakyat, sebaliknya lebih banyak bertelagah sesama sendiri.

“Kita sebenarnya mahu pembangkang yang kuat supaya wujud semak dan imbang yang baik, tetapi apa yang berlaku sekarang sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta dengan kerjasama Parlimen Tambun di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhamad Arafat turut berharap agar pembangkang di Perak dapat memperkukuh organisasi dan kembali memainkan peranan secara konstruktif demi kepentingan negeri dan rakyat.

Jelas beliau, ini kerana dia ‘menyayangi’ barisan pembangkang meskipun mereka bertindak menyerang beliau ketika sesi perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini bagi menutup kelemahan mereka sendiri.

“Saya sayangkan pembangkang. Sayang itu bermaksud kita mahu pembangkang yang lebih aktif memainkan peranan sebagai pembangkang ‘check and balance’ pada kerajaan.

“Apa yang kita nampak hari ini pembangkang bercelaru dan berpecah. Tidak berfungsi. Seolah-olah tiada pembangkang di Perak ini,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan pembangkang menyerang beliau semasa membuat perbandingan dari segi kutipan hasil serta pelaburan di antara Perak dan Kedah pada sidang DUN, Muhamad Arafat berkata, ia bertujuan memberi gambaran jelas kepada rakyat mengenai prestasi pentadbiran negeri.

Katanya, langkah itu juga dibuat susulan cabaran pembangkang sendiri yang mahu diberi peluang mentadbir Perak pada masa hadapan.

Terdahulu tular video suasana DUN Perak bertukar riuh apabila Muhamad Arafat membuat perbandingan dari segi kutipan hasil serta pelaburan di antara Perak dan Kedah. -MG Perak

Video berkenaan:

MGPerak: DUN Perak ‘Kecoh’ Arafat Bertikam Lidah Dengan Pembangkang

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI