IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) optimis pasukan bola sepak Perak FA merekodkan kemenangan kedua menentang Machan FC bagi perlawanan Liga A1 Semi-Pro.
Perlawanan berkenaan dijadual berlangsung esok di Kompleks Bola Sepak Perak, Chemor, di sini.
Presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pasukan Perak FA menunjukkan momentum yang amat baik selepas kemenangan pertama menewaskan Perlis GSA FC pada 22 Ogos lalu.
Menurut beliau, pemain juga bersemangat selepas menjalani beberapa perlawanan termasuk persahabatan antarabangsa baru-baru ini.
“Saya mempunyai harapan tinggi dengan pendedahan yang kita telah beri dan beberapa perlawanan telah kita lalui dengan merasakan bagaimana perasaan kalah, perasaan seri dan perasaan menang.
“Digabungkan dengan jersi baharu, saya rasa ia akan menyebabkan Perak beroleh kemenangan kali ini, Insya-Allah.” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Jersi Perak FA Musim 2025/26 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Ipoh Parade di sini, pada Jumaat.
Ditanya mengenai barisan pemain Perak FA, Mohd Azhar berkata, pasukan berkenaan semakin hampir melengkapkan pemain dengan membawa masuk seorang lagi import.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat isu teknikal yang perlu diselesaikan sebelum pemain import berkenaan disenaraikan bagi bermain dalam liga.
“Kita mempunyai penyerang, pertahanan yang bagus dan pemain tempatan yang berkualiti dan saya yakin gabungan ini akan serasi dan dapat melakukan banyak jaringan dan juga percubaan,” katanya.
Media pada pada 3 September lalu melaporkan Perak FA mengumumkan pemain terbaharu mereka, Aliyu Abubakar, 29, dari Nigeria. -MG Perak