IPOH – Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari air terjun dalam kejadian di Air Terjun Buntong di sini, pada Sabtu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekitar jam 11.26 pagi.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru bergegas ke lokasi bagi membantu membawa mangsa turun.
“Setibanya jentera di kaki bukit, ketua operasi memaklumkan anggota perlu berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa ditemukan.
“Pasukan penyelamat mendapati mangsa berusia 17 tahun itu telah menerima rawatan awal daripada pihak KKM namun disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Ketua operasi melakukan penilaian situasi dan mengarahkan anggota untuk membawa mangsa turun dari lokasi kejadian ke kawasan kaki bukit dengan menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 2.20 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: