TANJUNG MALIM – Tadika Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah menerima Certificate of Membership dalam Rangkaian Sekolah Bersekutu UNESCO (UNESCO Associated Schools Network, ASPnet).
Ia sekali gus menjadikan Tadika di bawah seliaan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) sebagai prasekolah pertama di Malaysia yang pengiktirafan berkenaan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata, pencapaian itu merupakan satu kejayaan besar bukan sahaja kepada UPSI, malah kepada sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
Beliau berkata, pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa Tadika Bitara konsisten melaksanakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, inklusif dan berpaksikan nilai sejagat.
“Malah lebih penting, TADIKA Bitara juga menjadi perintis dalam menerapkan Education for Sustainable Development (ESD), iaitu pendidikan berteraskan kelestarian yang mendidik kanak-kanak mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar, amalan lestari serta kesedaran global sejak usia awal.
“Selain kurikulum akademik, kanak-kanak di Tadika Bitara turut dilatih untuk mengamalkan gaya hidup lestari melalui aktiviti seperti berkebun, kitar semula, pengurusan sisa, penggunaan tenaga secara berhemah dan penglibatan dalam projek komuniti,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini membina asas kukuh untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki jiwa kepemimpinan global.
“Pengiktirafan ini meletakkan Tadika Bitara di pentas antarabangsa sebagai model prasekolah berteraskan kelestarian.
“Ia membuktikan UPSI berada di landasan tepat untuk melahirkan generasi yang berdaya saing, berjiwa global dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap masa depan bumi,” katanya.
Sijil rasmi pengiktirafan UNESCO itu diserahkan pada 11 Ogos 2025 lalu, sekali gus menjadikan tarikh berkenaan sebagai detik bersejarah bagi dunia pendidikan negara.
ASPnet yang diwujudkan pada tahun 1953 kini menghimpunkan lebih 11,500 institusi pendidikan dari 182 negara di seluruh dunia.
Rangkaian ini menjadi platform kolaboratif terbesar UNESCO untuk memperkukuh pendidikan nilai sejagat melalui empat bidang utama: pendidikan hak asasi manusia, kelestarian alam sekitar, dialog antara budaya, dan inovasi pedagogi.
Melalui jaringan ini, sekolah dan prasekolah di seluruh dunia digalakkan untuk berkongsi amalan terbaik, melaksanakan projek bersama, serta memperkukuh kesedaran global dalam kalangan murid sejak usia awal. -MG Perak