IPOH – Syarikat penerbangan komersial Batik Air mengumumkan pembukaan laluan baharu Ipoh-Singapura menggunakan Boeing 737 MAX bermula 1 Disember 2025.
Ia selari dengan Fasa Pertama kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, yang telah siap dilaksanakan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, pengumuman tersebut merupakan pencapaian penting hasil usaha berterusan kerajaan negeri disamping menandakan rangkaian penerbangan Ipoh telah memasuki era baharu.
“Dengan penyertaan Batik Air, laluan Ipoh kini lebih pelbagai. Ia memudahkan pelancong domestik dan antarabangsa, serta memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Perak yang berulang-alik ke Singapura untuk perniagaan, pendidikan dan kekeluargaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sze Yee turut mendedahkan, pada April lalu Kerajaan Perak melalui Unit Strategi Ekonomi Negeri (SEU) Bahagian Kerajaan Tempatan, Tourism Perak telah mengadakan rundingan bersama pengurusan tertinggi Batik Air sebelum mencapai persetujuan ini.
Menurut beliau, Singapura merupakan pasaran pelancongan antarabangsa utama bagi Perak serta pintu transit rakyat negeri ini ke luar negara.
“Laluan baharu ini dijangka memperkukuh keterhubungan Ipoh–Singapura, sekali gus memberi rangsangan kepada pelancongan dan pelaburan negeri,” katanya.
LTSAS merekodkan 540,000 penumpang pada 2024, meningkat 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Untuk rekod bermula Januari sehingga Mei 2025, jumlah penumpang yang menggunakan LTSAS hampir 220,000.
Dengan penaiktarafan bernilai RM8 juta yang siap April lalu, kapasiti lapangan terbang meningkat daripada 240 kepada 510 penumpang sejam, dan setahun daripada 500,000 kepada 700,000.
“Kerajaan Negeri Perak akan terus memperjuangkan lebih banyak penerbangan antarabangsa ke Ipoh serta mengalu-alukan kerjasama syarikat penerbangan dan industri pelancongan bagi menjadikan Perak pintu masuk antarabangsa yang lebih berdaya saing,” tambahnya. -MG Perak