PARIT – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berharap Belanjawan Perak 2026 yang bakal dibentangkan memberi tumpuan khusus kepada agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.
Menurutnya, walaupun belanjawan negeri masih belum dibentangkan, usaha memperkukuhkan TVET perlu diberi keutamaan kerana ia seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Belanjawan negeri masih belum dibentangkan dan sebagai salah seorang yang diberi ruang dan peluang untuk terlibat secara langsung, sudah pasti agenda pemerkasaan TVET harus diberi keutamaan.
“Tambahan pula dalam setiap perincian, bajet kita menjurus kepada pelan Perak Sejahtera 2030 yang pastinya di dalam pelan itu ada peruntukan pelaksanaan TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnaan majlis perasmian Karnival TVET Perak Tengah 2025 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini, pada Khamis.
Khairudin berkata, peruntukan bagi pelaksanaan TVET sentiasa meningkat setiap tahun dan beliau berharap jumlah itu akan bertambah dalam belanjawan negeri pada tahun hadapan.
“Setiap tahun peruntukan untuk TVET bertambah dan harap perkara sama berlaku pada belanjawan 2026.
“Ini kerana Perak mempunyai Majlis Perundingan TVET Perak dan Majlis Perundingan TVET Perak Tengah yang jika digabung jalin serta dirangkumkan mampu peroleh kepuasan masyarakat khususnya orang muda.
“Justeru, kita berharap Bajet 2026 yang akan dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ada peruntukan khas kepada pemerkasaan TVET di Perak,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TVET lonjakkan industri kulinari, tawar peluang kerjaya yang luas