SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak memberi tumpuan memperkukuh peranan belia tani melalui program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan sektor pertanian terus berdaya saing serta menjadi tonggak keterjaminan makanan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru, Perak Agrofest menjadi medan bagi memperkenalkan TVET agro, dan menyemarakkan teknologi pintar dalam sektor makanan negara.
Menurutnya, program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penyertaan lebih 60 jabatan dan agensi dengan pelbagai pengisian.
“Antaranya, Forum Perdana ‘Bumi Subur, Hati Makmur, Pertanian Satu Ibadah’ yang menerima sambutan hangat.
“Di samping itu, hamparan laman-laman pameran utama: Laman Ekonomi Biru, Pertanian, Padi, Nanas, Inovasi dan Teknologi, Agro Madani, Veterinar bersama Zoo Taiping serta Laman Empayar Makanan yang menghimpunkan ratusan juadah oleh usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, agenda keterjaminan makanan negeri terus diperkukuh dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah dilancarkan pada Februari lalu.

“Pelan ini menetapkan hala tuju pembangunan perikanan, pelabuhan, industri marin, agropelancongan, serta pemuliharaan biodiversiti.
“Menerusi dukungan kerajaan, sokongan sektor swasta, bimbingan akademik serta kesungguhan nelayan, pesawah, penternak dan usahawan tani, Perak berupaya muncul sebagai peneraju utama ekonomi biru negara.
“Ekonomi ini bukan semata-mata soal pertumbuhan, tetapi tentang keseimbangan antara kemakmuran dan kelestarian, antara hasil bumi dan kesejahteraan rakyat yang saling berkait, dan saling melengkapi,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan pengurusan pembangunan tanah pertanian yang lebih teratur, penggunaan tanah yang optimum serta amalan pertanian yang lestari, inovatif dan berdaya tahan.
“Langkah ini penting bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi, mengurangkan pembaziran, serta memastikan rakyat mendapat makanan yang segar, selamat dan berkhasiat,” katanya.
Katanya, bagi tahun 2025, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperkenalkan tema: Memacu Reformasi, Mengukuhkan Keterjaminan Makanan Negara.
“Seiring dengan saranan ini, kerajaan negeri telah pun menetapkan matlamat keterjaminan makanan sebagai agenda utama melalui Pelan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak Agrofest 2025 sasar nilai jualan RM1.6 juta pertanian, makanan