Penggiat seni penjaga khazanah, penyambung budaya bangsa – Saarani

IPOH – Perak bukan sahaja kaya dengan hasil bumi, malah turut sarat dengan seni budaya yang membentuk jati diri negeri serta menjadi akar tunjang kebanggaan rakyat dan wajah Perak di mata dunia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun, warisan seni yang dibanggakan itu berdepan cabaran besar apabila arus globalisasi dan pengaruh budaya popular asing semakin mudah memikat generasi muda.

Menurutnya, jika generasi muda tidak dibimbing, seni tradisi negeri ini dikhuatiri akan tersisih, malah ada yang berisiko pupus kerana ketiadaan pewaris sebenar.

“Ada kesenian tradisional kini berdepan risiko pupus kerana ketiadaan pewaris yang benar-benar dapat menghayati dan mendalami seni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025 di Hotel Travelodge, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Pengukuhan Seni Budaya, Saiful Khairi Ahmad dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Hisham Mat Husien.

Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap cabaran sebenarnya membuka ruang kepada peluang baharu, terutama melalui penggunaan teknologi digital.

Penggiat seni penjaga khazanah, penyambung budaya bangsa - Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Anugerah Seni Negeri Perak Tahun 2025 di Travelodge Hotel, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 SEPTEMBER 2025.

“Teknologi digital hari ini memberi jalan untuk pantun, dabus, rebana dan kraf Perak diketengahkan ke seluruh dunia.

“Menerusi kreativiti dan strategi yang tepat, seni tradisi boleh dipersembahkan semula dalam wajah moden tanpa menghilangkan rohnya.

“Misalnya, teater tradisional yang dirakam dan dipersembahkan secara dalam talian mampu menarik minat generasi baharu, di samping mengangkat seni Perak ke pentas global,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri sedar seni budaya merupakan asas penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi yang seimbang.

“Justeru, pelbagai inisiatif digerakkan melalui JKKN, Majlis Kebudayaan Negeri dan agensi lain supaya seni budaya terus hidup, berkembang dan berpadu dalam arus pembangunan negeri,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, ASN Perak adalah pengiktirafan tertinggi kepada tokoh, penggiat dan pendukung seni serta budaya yang telah berjaya mengangkat martabat negeri.

Tambahnya, mereka yang sebenarnya menjadi benteng kelestarian warisan, penjaga khazanah, dan penyambung denyut nadi budaya bangsa.

Pada malam itu, sebanyak 19 kategori anugerah disampaikan merangkumi bidang teater, muzik, tari, seni halus, seni belakang tabir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum, sekolah harapan seni budaya serta media seni budaya.

Sebanyak 50 pencalonan telah diterima dan dinilai secara telus oleh empat juri profesional. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kisah Sultan Perak pertama dipentaskan melalui Beting Beras Basah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI