IPOH – Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan di Perak sejak Mei lepas telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 pelajar sekolah rendah dan menengah setakat 29 Sept.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata inisiatif itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya apabila pemerhatian mendapati lebih 90 peratus murid sekolah rendah memahami kandungan pembelajaran kempen berkenaan.
“Saya lihat impak Kempen Internet Selamat ini amat positif, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang menyambut baik saranan kerajaan untuk melindungi keselamatan anak-anak di sekolah,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.
Sehingga 29 Sept, sebanyak 208 sekolah menyertai kempen itu, melibatkan 139 sekolah rendah dan 69 sekolah menengah dengan penyertaan 12,398 murid. Selain itu, tujuh sesi hebahan umum turut diadakan melibatkan komuniti luar sekolah.
Mohd Azlan berkata kerajaan negeri menyasarkan penyertaan 1,010 sekolah menjelang November ini, sekali gus melepasi sasaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu 879 sekolah atau 80 peratus daripada keseluruhan sekolah di Perak.
“Pada September sahaja kita telah capai 195 sekolah. Selain itu, kita juga menggunakan kaedah Trainer of Trainers (TOT) bagi memperluas capaian. Pada November nanti akan ada program besar yang melibatkan lebih banyak wakil sekolah.
“Bagi Oktober, kita sasarkan 553 sekolah dan November 171 sekolah. Jika mengikut perancangan, jumlah keseluruhan sekolah yang terlibat sehingga November mencecah 1,010, melepasi sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata kempen yang dilancarkan di Sekolah Kebangsaan Bidor 2 pada 10 April lepas itu memberi tumpuan kepada lima isu kritikal iaitu penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun.
Mohd Azlan berkata MCMC turut membangunkan modul pembelajaran berstruktur dengan kerjasama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), disesuaikan mengikut enam kumpulan umur bermula tujuh tahun hingga warga emas 60 tahun ke atas.
Bagi murid sekolah rendah berusia tujuh hingga sembilan tahun, modul memperkenalkan konsep kandungan baik dan tidak baik. Bagi murid berusia 10 hingga 12 tahun, tumpuan diberi kepada kandungan berbahaya, tidak senonoh, eksploitasi seksual, ucapan kebencian dan buli siber.
Pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun pula didedahkan kepada topik maklumat palsu, jejak digital serta eksploitasi seksual dalam talian menerusi pendekatan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Mohd Azlan berkata pemerhatian awal mendapati tahap kefahaman murid adalah tinggi.
“Dalam modul yang diterapkan, kita maklumkan kandungan yang tidak sesuai untuk anak-anak ini. Jadi apabila mereka sedar, lebih mudah untuk mereka menolak atau memilih untuk tidak melihat kandungan tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperluas kempen itu kepada golongan lain termasuk belia, ibu bapa dan warga emas kerana jenayah siber tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak.
Kempen Internet Selamat di Perak dilaksanakan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Penerangan Negeri, Persekutuan Pengakap, Yayasan Sukarelawan Siswa, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak serta Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF).
Sekolah Kebangsaan Bidor 2 di Tapah menjadi lokasi pertama pelaksanaan kempen anjuran MCMC itu yang dilancarkan pada 10 April lepas.
— BERNAMA