KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat sebarang keputusan berkenaan hala tuju politik beliau selepas ini.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, beliau kini lebih memberikan tumpuan menjaga kebajikan anak-anak yatim termasuk yang dikendalikan menerusi YKM.
“Saya sekarang seronok menjaga kebajikan anak-anak yatim, termasuk anak-anak yatim yang diuruskan saya sendiri.
“Soal politik ini bila-bila boleh berubah, bila-bila saya boleh buat keputusan.
“Tunggulah, jika saya ada mahu membuat apa-apa keputusan nanti, saya akan maklumkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan YKM serta Pemberian Bantuan Menara Gading di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera ditanya berkenaan perancangan beliau dalam dunia politik terutama selepas kontroversi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan sejumlah wang yang dikaitkan dengan beliau.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ismail Sabri.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada perlu meneruskan pertuduhan terhadap Ismail Sabri berkait siasatan tersebut. – MalaysiaGazette