IPOH – Seorang pemandu van penghantaran didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kerosakan pada tujuh kenderaan pada Ahad lalu.
Majistret Anis Hanini Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap R Vikneshwaran, 43, dan turut memerintahkan lelaki terbabit dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan supaya sabitan hendaklah direkodkan pada lesen memandu tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit sebagai pemandu van jenis Toyota Hiace telah memandu kenderaan tersebut tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain menggunakan jalan tersebut.
Bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di perkarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh sekitar jam 2.54 pagi pada 5 Oktober lalu.
Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000, dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan.
Mengikut fakta kes, lelaki itu didakwa telah menyebabkan kerosakan terhadap Honda City, Toyota Vios, Perodua Kancil, Proton X50, Proton Saga, Perodua Axia termasuk kenderaan yang dipandunya Toyota Hiace.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman ringan dikenakan ke atasnya memandangkan dia adalah penanggung tunggal keluarga.
Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar bagaimanapun, mencadangkan satu denda maksimum dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira ia melibatkan tujuh kenderaan dan berlaku di tempat awam.
Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan kerosakan teruk pada tujuh kenderaan serta kerugian besar kepada pemilik kenderaan.
“Kejadian ini telah berlaku di tempat awam dan menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat. Jadi, saya memohon denda maksimum dikenakan ke atas tertuduh,“ ujarnya.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa video pendek memaparkan beberapa kereta remuk seperti dirempuh kenderaan lain di kawasan tempat letak kereta berhampiran Stesen KTM Ipoh dan Bangunan Pejabat Pos Besar Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan sberkata, seorang lelaki tempatan berjaya ditahan hasil maklumat orang ramai susulan kejadian tersebut.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati van terbabit telah gagal dikawal semasa sedang membelok ke simpang sebelum melanggar beberapa kenderaan di kawasan parkir terbabit. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Enam kereta remuk di parkir KTM Ipoh, polis berjaya kesan pemandu van