PARIT – Timor-Leste bakal menjadi anggota penuh ASEAN secara rasmi pada Sidang Kemuncak Ke-47 26 Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 mengesahkan perkara berkenaan semasa Sesi Dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) sempena program Temu Anwar Bersama Pelajar UTP di Dewan Canselor, di sini, pada Sabtu.
Menurut Anwar, Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri berusaha keras memastikan Timor-Leste diterima sebagai anggota ASEAN.
“Alhamdulillah dengan kerjasama Kementerian Luar pada 26 Oktober ini secara rasminya Timor-Leste akan menjadi anggota tetap.
“Saudara mempunyai tanggungjawab yang besar bukannya di sini tetapi membantu membangunkan negara masing-masing,” katanya menjawab pertanyaan pelajar antarabangsa UTP yang berasal dari Timor-Leste pada sesi dialog berkenaan.
Malaysia Gazette sebelum ini melaporkan Timur Leste bakal diiktiraf sebagai negara anggota ASEAN ke-11, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, pengiktirafan itu akan dibuat pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, 26 Oktober akan datang.
“Ini adalah bukan hanya (susulan) lawatan yang dilakukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tapi juga mengeratkan hubungan di antara kedua-dua negara,”katanya ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Terdahulu beliau menyifatkan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor Leste pada 23 dan 24 September lalu merupakan detik bersejarah untuk kedua-dua negara.
“Ia merupakan satu lawatan yang sangat bersejarah, kali terakhir seorang Perdana Menteri menjejak kaki ke Timor Lesse pada 2003 waktu Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri),” jelasnya.
Lawatan Anwar baru-baru ini ke Timor Leste bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Untuk rekod Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, memohon keahlian ASEAN pada 2011. -MG Perak