BATU GAJAH – Seramai 838 pemohon berjaya menerima Geran Usahawan Perak Sejahtera atau GeRAK bagi membantu sektor usahawan kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia melibatkan peruntukkan berjumlah RM1.35 juta.
“Untuk tahun ini seramai 838 orang yang memohon berjaya menerima manfaat geran GeRAK melibatkan peruntukkan RM1.35 juta
“Setiap penerima layak mendapat bantuan bernilai RM2,000 bagi menyokong perusahaan mereka dalam pelbagai bidang seperti pembuatan atau perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Coopfest dan Jelajah Usahawan Negeri Perak Tahun 2025 di Arena Square, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Perak, Zuhaini Romli.
Malaysia Gazette (MG) Perak pada Mac lalu melaporkan Permohonan GeRAK dibuka bermula 7 April sehigga 31 Mei di mana ia disasar memberi manfaat kepada 750 usahawan PMKS di negeri ini.
Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya berharap agar peruntukkan GeRAK ditambah pada tahun hadapan melalui Belanjawan Perak 2026, Salbiah berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor itu berkata, apa yang penting setiap peruntukkan yang diumumkan kerajaan negeri benar-benar sampai ke kumpulan sasar dan memberi manfaat.
“Kalau tanya mana-mana exco sudah tentulah semua mahu bajet ditambah tetapi kita akan mengikut apa yang dibentangkan Menteri Besar Perak dalam belanjawan.
“Saya mengharapkan apa juga inisiatif yang dibuat benar-benar sampai ke kumpulan sasar dan benar-benar membantu usahawan yang beroperasi di Perak,” katanya.
Tambah Salbiah, bukan nilai yang dilihat dalam pembentangan Belanjawan Perak tetapi hasil sert manfaat yang diterima oleh rakyat terutamanya golongan yang dibantu.