IPOH – Perak telah mencapai Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100 peratus bagi 18 daripada 29 jenis tanaman makanan, sekali gus menunjukkan tahap mencukupi untuk menampung permintaan domestik pada tahun lalu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, untuk subsektor tanaman, SSR pada 2024 bagi 29 jenis tanaman terpilih berdasarkan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
Menurutnya, antara tanaman makanan dengan nilai SSR melebihi 100 peratus termasuk ubi keledek (434 peratus), jagung manis (408 peratus), bendi (354 peratus), jambu batu (325 peratus) dan kacang panjang (240 peratus).
“Bagaimanapun, masih terdapat 11 jenis tanaman makanan yang belum mencapai tahap sara diri 100 peratus antaranya manggis (96 peratus), beras (93 peratus), belimbing (93 peratus), rambutan (87 peratus) serta cili (77 peratus).
“Hal ini menjadi pemangkin dalan usaha mencuba pendekatan inovatif dan strategi mampan yang menjadi kunci untuk memastikan sektor ini terus berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Anugerah Pengembangan Jabatan Pertanian Perak 2025 di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Nosiyenti Othman.
Dalam perkembangan sama, Zolkafly berkata, Jabatan Pertanian Perak sentiasa berusaha dalam dalam meningkatkan pengeluaran makanan serta menunjukkan prestasi memberangsangkan pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
“Pengeluaran komoditi buah-buahan meningkat sebanyak 3.1 peratus iaitu daripada 125,624 metrik tan kepada 129,567 metrik tan, manakala pengeluaran komoditi sayur-sayuran meningkat sebanyak 7.6 peratus daripada 111,782 metrik tan kepada 120,330 metrik tan,” ujarnya.
Sementara itu, Zolkafly dalam sidang medianya memaklumkan, Jabatan Pertanian Perak merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan SSR tanaman yang masih belum mencapai tahap 100 peratus.
Katanya, tumpuan diberikan kepada peningkatan pengeluaran tanaman utama seperti beras, cili dan tomato melalui kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana sudah mempunyai pangkalan data, namun kita memerlukan lebih banyak maklumat bagi memperkukuh perancangan serta mempertingkatkan pengeluaran dan pembangunan usahawan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak Agrofest 2025 sasar nilai jualan RM1.6 juta pertanian, makanan