IPOH – Isu kekurangan tenaga kerja tempatan dijangka menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di empat negeri utara Semenanjung iaitu Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebimbangan itu dikongsi bersama oleh keempat-empat Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-34 (NCIA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya pada Rabu.
Saarani berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan laporan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA berhubung pelan pembangunan semasa dan masa hadapan bagi wilayah utara, yang dilihat berpotensi besar bagi melonjakkan kemakmuran ekonomi di negeri-negeri terbabit.
Kata beliau, hasil mesyuarat sama, empat negeri berkenaan bersetuju untuk menumpukan perhatian kepada usaha memastikan peluang pekerjaan di negeri masing-masing dapat diisi oleh tenaga kerja tempatan.
“Kita melihat rancangan pembangunan itu sangat baik kerana ia mampu menjadikan Perak dan tiga negeri lain makmur, sekali gus mensejahterakan rakyat.
“Namun dalam masa sama, kita perlu bersedia menghadapi soal tenaga kerja. Seperti di Perak selalu saya sebut, kita perlu ada perancangan di mana dengan pembangunan, ia akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada orang Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar 2.0: ‘Mengapa Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Inklusif (i-ESG) serta IR5.0?’ di Hotel Casuarina@ Meru, Ipoh.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jenny Choi Tsi Jen serta penganjur bersama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian.
Jelas Saarani, penduduk tempatan di setiap negeri harus diberi keutamaan dalam merebut pelbagai peluang pekerjaan baharu bagi memastikan manfaat atau rantaian ekonomi terus berputar di peringkat domestik.
Namun, beliau tidak menolak hakikat terdapat dalam kalangan rakyat tempatan, khususnya golongan muda yang masih kurang berminat atau merasakan tidak sesuai dengan bidang pekerjaan teknikal yang ditawarkan industri.
“Oleh sebab itu seperti di Perak, kita menyediakan pelbagai peluang dan ruang untuk mereka yang berminat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Namun sekiranya anak tempatan tidak merebut inisiatif ini, kita akan kehilangan bakat-bakat tempatan, yang mana akhirnya para pelabur terpaksa mencari tenaga luar bagi mengisi kekosongan yang ada. – MG Perak
Artikel Berkaitan: