IPOH – Isu kekurangan tenaga kerja tempatan dijangka menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di empat negeri utara Semenanjung iaitu Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebimbangan itu dikongsi bersama oleh keempat-empat Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-34 (NCIA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya pada Rabu.
Saarani berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan laporan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA berhubung pelan pembangunan semasa dan masa hadapan bagi wilayah utara, yang dilihat berpotensi besar bagi melonjakkan kemakmuran ekonomi di negeri-negeri terbabit. – MGPerak