KUALA UMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berani mengambil tindakan dan tidak hanya berhenti pada tahap perbincangan atau slogan semata-mata jika tidak mahu isu disiplin pelajar terus berulang tanpa penyelesaian berkesan.
Sebaliknya Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berpendirian, sebarang usaha untuk memperkukuh sistem pendidikan negara mesti dilaksanakan dengan segera.
“Soalannya, adakah pemulihan hukuman fizikal benar-benar berkesan untuk mengelakkan pelajar melakukan kesalahan?” soalnya dalam kenyataan.
Terdahulu, Dominic menyambut baik langkah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengumumkan lima pembaharuan bagi meningkatkan keselamatan di sekolah selepas beberapa insiden serius berlaku kebelakangan ini termasuk larangan membawa barangan terlarang ke kawasan sekolah.
Bagaimanapun KPM juga perlu meneliti dengan serius cadangan untuk mengembalikan semula hukuman fizikal di sekolah.
Ujarnya, Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 yang membenarkan pengetua memberi kuasa kepada guru lain untuk menjalankan hukuman fizikal secara munasabah bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 1990 yang melarang sebarang bentuk hukuman fizikal terhadap kanak-kanak.
“Kedua-dua undang-undang ini mempunyai percanggahan dari segi tafsiran dan pelaksanaan. Oleh itu, hukuman fizikal mungkin boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi.
Tambah Dominic, sekiranya kementerian tersebut mahu mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman fizikal, garis panduan yang jelas serta perlindungan undang-undang kepada para guru perlu diwujudkan.
“Persoalan sama ada guru patut atau tidak menggunakan hukuman fizikal ke atas pelajar kembali mencetuskan perdebatan. Seolah-olah isu ini tidak pernah mempunyai jawapan yang muktamad. Daripada terus berbahas tentang ‘patut atau tidak’ lebih baik kita menilai kesan baik dan buruk hukuman fizikal itu sendiri adakah ia benar-benar berkesan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, katanya, hasil perbincangan dengan beberapa tokoh pendidikan berpengalaman menunjukkan pada masa dahulu, penggunaan rotan dianggap cara paling cepat untuk menyelesaikan masalah pelajar.
“Tetapi akhirnya mereka sedar bahawa masalah disiplin tidak semestinya dapat diselesaikan. Ramai pelajar selepas dihukum tidak benar-benar menyesal atau sedar akan kesalahan mereka,” tambahnya.-MalaysiaGazette