IPOH – Kira-kira 20,000 pengunjung disasarkan hadir bagi memeriahkan pengajuran Karnival dan Konsert Gendang MADANI 2025 yang akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada 6 hingga 9 November depan.
Karnival anjuran Letops Fest dengan kerjasama agensi pelancongan negeri Perak, Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak) itu juga dijadual bakal memperoleh pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records melalui persembahan ‘Gendang Tanpa Henti’.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Letup Fest, Azi Azuwa, berkata, seramai enam pemain gendang akan memainkan alat muzik tradisional itu selama 68 jam secara bergilir-gilir tanpa henti.

“Ia merupakan tumpuan utama pada karnival ini yang mana tempoh masa 68 jam diambil bersempena dengan genap 68 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan.
“Acara seperti ini julung kali diadakan dengan melibatkan pemain-pemain gendang dari sekitar Bandar Raya Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival dan Konsert Gendang MADANI 2025 di Pejabat Tourism Perak, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Menurut Azi, antara acara lain yang turut akan diadakan sepanjang empat hari penganjuran adalah acara persembahan pentas yang menampilkan kumpulan Rabbani, penyanyi Hazeq Rosebi, dan Azlan Typewriter.
Kata beliau, turut akan berlangsung adalah pertunjukan payung terjun, persembahan api dan silat, larian santai atau ‘fun run’, ceramah agama, pertandingan kumpulan muzik, pertandingan mewarna, pertandingan hiasan pulut kuning dan sebagainya.
“Selain itu, Karnival dan Konsert Gendang MADANI 2025 juga membawakan 60 vendor makanan tular media sosial melalui segmen ‘Food Mania by Letops Fest’.
“Karnival ini bukan sahaja berkonsepkan kekeluargaan dan hiburan berjiwa, tetapi juga membawa misi penyatuan budaya. Kami percaya muzik dan komuniti boleh menjadi jambatan untuk kebaikan yang lebih besar,” ujarnya lagi.
Sementara itu Mohamad Kamil memberitahu, perasmian karnival berkenaan dijadual akan disempurnakan dengan keberangkatan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah pada 9 November.
Kata beliau, Karnival dan Konsert Gendang MADANI 2025 merupakan sebuah acara mega yang meraikan keindahan seni, spiritual dan budaya melalui irama gendang serta pelbagai pengisian aktiviti yang menanti pengunjung.
“Kita yakin melalui karnival ini juga ia akan merancakkan lagi kalender pelancongan negeri pada tahun ini dan sekali gus memberi nilai tambah kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tahun Melawat Malaysia: Perak terus perkukuh segmen pelancongan sukan