Banjir: Perak aktifkan jawatankuasa pengurusan bencana, 74 aset digerakkan

IPOH – Perak mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) susulan keadaan banjir yang semakin buruk melanda daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung mulai jam 9.30 malam pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, seramai 2,171 mangsa dari 759 keluarga di dua daerah berkenaan ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi.

Katanya, susulan itu sebanyak 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi telah digerakkan ke kawasan yang terjejas banjir.

“Ia terdiri daripada 16 bot penyelamat, 25 lori pelbagai saiz, ambulans (lapan) kenderaan pacuan empat roda (4WD) (12), serta 13 khemah dan pelbagai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan lampu sorot mudah alih.

“Tambahan aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saarani berkata, semua jabatan dan agensi keselamatan negeri telah digerakkan ke semua kawasan terjejas bagi menyegerakan operasi pemindahan dan kerja-kerja menyelamat.

Tambah beliau, antara yang terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan sebagainya.

Ujar beliau, tindakan pantas itu penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.

 

Selain itu kata Saarani, pejabat-pejabat daerah bersempadan seperti Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak turut digembleng bagi membantu menyediakan aset dan kelengkapan logistik, termasuk di PPS.

“JPBN bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

“Aset logistik tambahan telah ditempatkan di lokasi strategik, manakala penghantaran bekalan keperluan asas dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap PPS mendapat bantuan yang mencukupi dan tepat pada masanya” ujarnya.

Pada masa sama Saarani menasihatkan semua penduduk di kawasan terjejas banjir untuk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Mereka juga dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau alur limpah sepanjang tempoh hujan berterusan ini,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: Jumlah mangsa meningkat kepada 2,171

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI