IPOH – Pengumuman 4,500 doktor kontrak bakal dilantik ke jawatan tetap ketika pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini memberi kelegaan kepada kumpulan petugas kesihatan berkenaan yang sekian lama menantikan status tetap dalam perkhidmatan awam.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, proses pelantikan tetap itu akan dilaksanakan dengan segera.
“Pelantikan itu memang kita buat seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan. Dahulu kita mulakan dengan lantikan interim, dan kini kita telah melantik mereka secara tetap. Jadi, tidak timbul sebarang masalah.
“Proses pelantikan ini kita akan laksanakan seberapa segera yang boleh. Malah baru-baru ini, kita juga telah melantik lebih daripada 3,000 jururawat ke jawatan tetap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Ipoh di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Nor Sham Rahman dan Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said.
Beliau berkata, pelantikan tetap tidak tertakluk kepada tempoh kontrak tertentu, sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakan dan pemenuhan syarat perkhidmatan yang ditetapkan.
“Biasanya, mana-mana pegawai yang telah memenuhi syarat, kita akan lantik ke jawatan tetap tanpa masalah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Jailani berkata, selain kumpulan doktor yang dilantik tetap, mereka yang kini berkhidmat secara interim juga akan menyusul untuk dilantik secara tetap setelah semua proses dan tuntutan pelantikan dipenuhi oleh SPA.
“Cumanya, kaedah pelantikan akan diteliti secara lebih terperinci bagi memastikan kelestarian dalam pelantikan itu pada masa akan datang,” tambahnya.
Pada pembentangan Belanjawan 2026 baru- baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun hadapan.
Langkah ini adalah lanjutan usaha berterusan kerajaan sejak 2023, yang telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan dan menyerap sejumlah 12,900 doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap setakat ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


