IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM5,831,264.89 (RM5.8 juta) daripada lapan syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Perak, Istana Kinta, di sini, pada Khamis.
ZAPAR dalam kenyataan media memaklumkan penyerahan zakat perniagaan berkenaan didahului Felcra Berhad yang diwakili Pengarah Negeri Felcra Berhad Perak, M Zaiful Anuar Zulkifli berjumlah RM1,483,830.20.
Katanya, ia disusuli, Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Badrul Hisyam Ibrahim berjumlah RM1,046,469; Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad diwakili Pengerusinya, Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi dengan jumlah RM114,092.44.
Selain itu, Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad diwakili Pengerusinya, Salleh Hudin Kamarudin menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,784,234.13; diikuti Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad, yang diwakili Pengerusi, Nor Sharifuddin Yeop Sabar berjumlah RM490,969.59.
Baginda turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada KPJ Sri Manjung Specialist Hospital yang di wakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Tareq Mamat berjumlah RM181,000.
Seterusnya Sultan Nazrin berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan Metropolitan Utilities Corporation Sdn Bhd oleh Pengurus Besar Operasinya, Mohd Khairiri Mohamed Zubir berjumlah RM321,218.

Penyerahan zakat terakhir oleh YP Nominees Holdings Sdn Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rozita Ramli berjumlah RM409,451.53.
Baginda Sultan Perak berkenan menyerahkan zakat perniagaan kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
Sebelum itu, majlis didahului dengan Pengurniaan Watikah Pelantikan Kepada Anggota MAIPk Selwah Haji Said.
Majlis penyerahan turut disaksikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin (B); Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk AB. Wahab Azizul Hassan; Orang Besar Jajahan Manjung Leftenan Kolonel Datuk Shaharudin Nazari (B); Toh Seri Wangsa, Datuk Ahmad Suhaili Md Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Md.Tajuri.
Zakat perniagaan yang diserahkan oleh syarikat korporat ini telah menunjukkan bahawa komitmen yang tinggi dalam membantu ekonomi dan sosial asnaf di negeri Perak.
ZAPAR sentiasa komited menjalankan tugas dakwah dan aktiviti kutipan kepada individu mahupun syarikat korporat dalam melaksanakan kewajipan berzakat. -MG Perak


