IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institusi Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak diikuti persembahan silat.
Kemudian, majlis diteruskan dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran disusuli bacaan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan gimik pelancaran Modul Integriti Keluarga (MIKe).
Sementara itu, Shamsul Azri dalam ucapannya berkata, IIM memainkan peranan penting dalam usaha pembudayaan nilai integriti dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, antara inisiatif terbaharu ialah pelancaran MIKe, yang bertujuan memperkasakan institusi keluarga sebagai benteng utama dalam pembentukan sahsiah dan nilai-nilai murni.

“Elemen nilai-nilai integriti keluarga yang diketengahkan melalui MIKe adalah berteraskan akronim KELUARGA, yang membawa maksud Kasih; Empati; Luhur; Usaha; Amanah; Rasional; Gigih dan Adil.
“Selain itu, IIM juga akan turut memperkenalkan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang bertujuan untuk mengukur, menilai serta memperkukuh amalan integriti dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi.
“Inisiatif seperti MIKe dan SPINE ini jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh budaya integriti bukan sahaja dalam pentadbiran awam, tetapi juga dalam institusi kekeluargaan dalam usaha menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berintegriti tinggi, beramanah dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai kesinambungan kepada pelancaran ini, SBIN 2025 akan diteruskan dengan penganjuran Forum Perdana Islam pada 6 November bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar.
“Khutbah Jumaat Sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 turut diadakan pada 7 November, di semua masjid seluruh negara dengan mengangkat tema ‘Integriti Tonggak Kepimpinan Islam.’
“Teks khutbah ini telah disediakan oleh IIM dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk diedarkan ke seluruh masjid di Malaysia,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kegagalan pendidikan punca krisis jiwa generasi muda – Sultan Perak


