IPOH – Kerajaan Negeri telah mengarahkan pemberhentian sementara operasi tiga syarikat perlombongan di Hulu Perak susulan laporan air Sungai Perak bertukar warna kebiruan baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, arahan berkenaan telah dikeluarkan sebaik sahaja kerajaan negeri menerima laporan awal berhubung pencemaran air Sungai Perak yang didakwa berlaku di di Kampung Sungai Papan, Gerik.
“Ketiga-tiga kilang (syarikat perlombongan) itu beroperasi secara sah.
“Cuma apabila diarahkan untuk berhenti beroperasi buat sementara waktu maka mereka berhentilah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeru Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut Saarani berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden berkenaan dan telah mengambil tindakan pantas sebaik sahaja menerima laporan awal.
Jelas beliau, pihaknya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan ketua-ketua jabatan berkaitan untuk mengambil perhatian dan menjalankan siasatan.

“pertama JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), kedua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), kemudian PTG (Pejabat Tanah dan Galian) termasuk Pegawai Daerah serta JAS (Jabatan Alam Sekitar) turun untuk menyiasat punca warna air tersebut.
“Jadi saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga jabatan-jabatan berkaitan membuat kajian dan ada dapatan mereka,” katanya.
Tambahnya, kenyataan rasmi akan dikeluarkan Kerajaan Negeri Perak selepas mesyuarat exco pada Khamis.
Malaysia Gazette (MG) Perak pada 22 Oktober melaporkan punca sebenar perubahan warna air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik, yang didakwa bertukar kebiruan dan disyaki tercemar hanya akan diketahui selepas sampelnya dianalisis.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, data pemantauan terkini bertarikh 9 Oktober lalu menunjukkan Indeks Kualiti Air (WQI) berada pada skor 93 iaitu dalam julat Kelas I hingga IIA.
Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengenal pasti tiga aktiviti perlombongan di bahagian hulu Sungai Perak di Gerik, Perak, susulan laporan air sungai itu bertukar warna kebiruan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kawasan berkenaan, melibatkan sebuah lombong nadir bumi (REE) dan dua lombong bijih timah. -MG Perak


