KUALA KANGSAR – Lebih daripada 500 jemaah menghadiri majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-69 di Masjid Ubudiah di sini, pada Jumaat.
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah, berkenan berangkat pada majlis yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; beberapa EXCO kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan negeri serta masyarakat setempat.
Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharudin mengetuai majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat sebelum menyampaikan khutbah bertajuk ‘Keadilan Raja – Kasih Rakyat: Tunjang Kemakmuran Negeri’.
Teks khutbah itu antara lain menekankan bahawa keadilan raja pemerintah yang diadun dengan rasa kasih rakyat akan merangkai persefahaman yang meningkatkan kesetiaan rakyat kepada takhta.
Menurutnya, ia kemudian akan menjamin pemerintahan yang berdaulat dan kerajaan yang
stabil, lalu negeri akan menjadi makmur di samping rakyat hidup dalam harmoni serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
“Mimbar berharap agar takhta pemerintahan menginsafi bahwa kedudukan dan kuasa ialah anugerah dan ujian Ilahi.
“Justeru itu sewajibnya memperlihatkan sebaik-baik contoh kepimpinan dalam memenuhi amanah Ilahi dan dalam memenuhi harapan
rakyat agar kemuliaan takhta tidak tercemar serta kedaulatan raja pemerintahan kekal dijunjung,” kata teks itu.
Selesai khutbah, Raja Jaafar serta dan Raja Iskandar Dzurkarnain dan jemaah mendirikan solat Jumaat yang diimamkan Syed Hazwan Syed Azmai.
Majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat itu turut diadakan di semua masjid daerah lain dengan ia diketuai Orang Besar Jajahan dan pegawai daerah masing-masing.
Selain itu, sempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin turut berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari Jumaat kepada 9,900 orang banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Koreksional Batu Gajah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keputeraan Sultan Perak: KSN, dua Exco antara 238 penerima darjah kebesaran


