KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah semangat permuafakatan yang diasas dan dicapai barisan pemimpin ketika membentuk negara merdeka yang berdaulat hendaklah terus dihormati.
Baginda bertitah, sebarang suara, tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang aman, harmoni dan makmur.
Titah baginda lagi, bumi yang dipijak memiliki segala komponen perbezaan daripada segi agama, kaum, budaya dan bahasa untuk mementaskan teater persengketaan.
“Alhamdulillah bumi ini dikurniai watak dan penulis skrip yang tidak memilih untuk mementaskan teater persengketaan.
“Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen yang pelbagai itu berjaya digabungkan dan dicantumkan sehingga terbinanya negara Malaysia, merdeka lagi berdaulat, aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera.
“Semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai oleh barisan pemimpin ketika membentuk negara merdeka yang berdaulat hendaklah terus dihormati,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 baginda di Istana Iskandariah di sini, pada Ahad
Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Sultan Nazrin bertitah, demi kepentingan kelangsungan negara dan bangsa, akal kurniaan Allah S.W.T perlu digunakan secara bijaksana kerana tindak tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi, dibimbangi akan membawa kerugian besar.
Titah baginda, masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat terutama dalam kalangan mereka yang hidup daif dalam kemiskinan.
Baginda turut bertitah rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan sumber kekayaan ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif.
“Beta hargai persepakatan yang diperoleh daripada Raja Muda, Raja Di Hilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi amanah
“Sebagai Amirulmukminin Beta menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para Hakim, ahli-ahli Dewan Negeri, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu, imam dan pemimpin agama, serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, yang masing-masing telah menyempurnakan amanah mengusahakan supaya negeri ini dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.
“Demikian jua penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah berpegang dan yakinlah kepada rahmat Allah S.W.T. untuk melakukan yang makruf dan yakinlah akan perlindungan ILAHI untuk memerangi yang mungkar.
“Tegapkan iman yang luhur agar terbina sebuah negara bangsa yang kukuh bersatu, teguh berpadu, aman lagi makmur, sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI, ‘ بَلْدَةٌۭ طَيِّبَةٌۭ وَرَبٌّ غَفُورٌۭ ’ seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, ayat 15 Surah Saba,” titah baginda. -MG Perak


