IPOH – Seniman Negara, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid memberi kebebasan 100 peratus kepada karyawan untuk mengolah komik ikoniknya, The Kampung Boy secara kreatif dan menterjemahkannya dalam pementasan teater.
Figura yang lebih dikenali sebagai Datuk Lat itu berkata, kebebasan usaha seni perlu dalam mengekspresikan karya antara realiti dan dunia fiksyen bagi menarik perhatian penonton.
“Kalau nak buat cerita Lat, ambil buatlah sendiri dan saya tak mahu masuk campur. Seperti saya buat teater muzikal Kampung Boy bersama Hans Isaac dan Harith Iskandar di Istana Budaya.

“Bila saya sudah okay dengan cara mereka menceritakannya, maka saya putus hubungan dan saya kata teruskan sebab kegiatan seni begini memerlukan kebebasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai sesi pratonton pementasan Karya Teater Seniman Negara, Datuk Lat- Kampung Boy di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Perak, di sini malam tadi.
Lat yang juga Seniman Diraja Perak itu berkata, pementasan teater tersebut membolehkan kisah ikoniknya berkembang dengan lebih dinamik berbanding buku-buku beliau.

“Bila naik ke pertunjukan pentas, pelakon-pelakon akan menghidupkan cerita. Saya boleh lihat cerita saya itu rupanya ia banyak bercabang-cabang dan ia lebih hidup daripada buku-buku saya, sebab kira-kira 95 peratus buku-buku saya, yang membuat kerja itu adalah lukisan.
“Yang lain itu kapsyen ataupun dialog sikit saja sebab saya tidak berapa suka hendak menulis. Kalau terpaksa tulis, untuk melengkapkannya dan menerangkan maksud lukisan tersebut,” ujarnya.
Anak jati kelahiran Kota Bharu, Gopeng ini turut kagum dengan kebolehan pelakon yang mampu menghafal dialog panjang.
“Jadi, saya lihat bahawa pertunjukan pentas ini saya tidak boleh buat kerana ia memerlukan banyak dialog yang perlu dihafal oleh pelakon-pelakon. Itu sesuatu yang saya tidak boleh bayangkan.

“Saya juga tidak boleh menjadi pelakon. Dulu, zaman Allahyarham Syed Alwi Syed Hassan, saya diberi peluang untuk menjadi extra (pelakon tambahan) pun saya tidak boleh kerana selalu tersilap dan lupa.
“Namun, orang tetap mengajak kerana pada waktu itu saya terkenal dan orang mahu melihat saya muncul di televisyen.
“Justeru, pada malam ini (malam tadi) sebagai pertunjukan pentas, saya rasa cerita itu tercapai dan saya yakin penonton, masyarakat, dan orang ramai akan mengetahui asal usul Lat,” ujarnya.
Karya arahan Ridhwan Saidi dan penulis skrip, Saad Omar itu mengetengahkan kisah kehidupan Datuk Lat sendiri sebagai seorang budak lelaki iaitu Lat yang merupakan anak sulung dalam keluarga dan gemar bermain di hutan, dusun, dan lombong timah bersama dengan kawan-kawannya.

Sewaktu berusia sembilan tahun, Lat membantu menambah pendapatan keluarganya dengan memanfaatkan kemahiran melukis dengan menjual komik kepada rakan-rakannya.
Sepertimana penceritaan Kampung Boy, teater ini diterjemahkan di atas pentas dengan lakonan realisme.
Antara barisan pelakon yang menjayakan teater ini antaranya Safura Ya’cob, Ilya Senario dan Taiyuddin Bakar yang memegang watak utama sebagai Lat dewasa serta Hadi Mikail sebagai Lat kecil.
Pementasan teater ini akan diadakan dari 14 hingga 16 November ini bermula jam 8.30 malam di Auditorium Kompleks JKKN Perak serta Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan dan dijadual berangkat menyaksikan pementasan teater itu pada 15 November ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Kampung Boy’, fiksyen autobiografi Datuk Lat diangkat ke pentas JKKN Perak


