KUALA KANGSAR – Pengurniaan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menjadi suntikan semangat baharu buat beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Pasangan atlet berkenaan menerima pingat tersebut daripada Sultan Nazrin pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah di sini, pada Sabtu.
Ketika ditemui pemberita selepas istiadat, Tang Jie, 27, berkata, penganugerahan yang diterimanya itu disifatkan sebagai pembakar semangat untuk mereka terus beraksi cemerlang dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Kami berasa gembira dan berbangga atas penerimaan anugerah PPT ini. Sama seperti penerima-penerima lain, kami juga rasa bersyukur kerana terpilih menerima pingat ini.
“Kami berterima kasih kepada Sultan Perak atas kurniaan pingat ini dan jika berpeluang, kami ingin menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada baginda sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, atlet beregu ranking keempat dunia itu turut berkongsi sedang melakukan persiapan akhir bagi menghadapi Kejohanan Terbuka Australia yang akan berlangsung dari 18 hingga 23 November ini di Sydney.

“Persiapan bagi menghadapi Olimpik Los Angeles 2028 masih terlalu jauh, oleh itu buat masa ini kami hanya memberi tumpuan kepada kejohanan terdekat (Terbuka Australia),” katanya.
Dua jaguh sukan negara itu merupakan antara 205 penerima yang diperkenankan Sultan Nazrin untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak termasuk satu penerima secara anumerta.
Pada Ogos lalu, Tang Jie dan Ee Wei berjaya melakar sejarah buat Malaysia apabila muncul sebagai atlet beregu campuran negara sulung menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris, selepas menundukkan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tang Jie, Ee Wei, Syaidatul Afifah terima pingat Sultan Perak


