TANJUNG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) melalui inisiatif penambahbaikan selari dengan keperluan pendidikan semasa.
UPSI dalam satu kenyataan berkata, ia sekali gus menjadikan institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu sebagai penyedia program perguruan paling relevan di negara ini.
Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim berkata, relevansi program DPLI dipastikan melalui semakan kurikulum setiap lima tahun.
Menurut beliau ia turut melibatkan industri, institusi pendidikan dan pakar akademik bagi mengekalkan mutu serta memastikan kandungannya terus relevan dengan perubahan sistem pendidikan negara.
“Proses penyemakan terbabit turut memastikan program itu mematuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan piawaian Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO), sekali gus menjamin keberkesanan latihan guru yang ditawarkan UPSI,” katanya.
Tambah Abdul Talib, kurikulum yang disusun semula turut menekankan kemahiran abad ke-21 berasaskan 4C iaitu komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis bagi melahirkan guru progresif dan mampu berfikir secara reflektif.
“Kadar kebolehpasaran graduan UPSI kekal melebihi 95 peratus, dan graduan DPLI menjadi penyumbang terbesar kepada pencapaian 97 peratus pada tahun 2025.
“Penilaian latihan mengajar secara komprehensif oleh penyelia sekolah dan pensyarah UPSI memastikan pelajar menguasai kemahiran pedagogi, pengurusan bilik darjah dan profesionalisme keguruan sebelum ditempatkan di sekolah,” katanya.
Beliau berkata, UPSI turut memberi tumpuan kepada latihan profesional berterusan dengan memperkenalkan teknologi pendidikan semasa, aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta pedagogi digital dalam pengajaran dan pembelajaran.
Menyentuh inovasi pembelajaran, beliau berkata UPSI melaksanakan usaha pendigitalan menyeluruh bagi program DPLI berdasarkan piawaian ‘Standard-based Teachers Education’ dan ‘Malaysian Teacher Standard’.
“UPSI juga menggalakkan penggunaan pedagogi berasaskan data, amalan informed teaching dan kaedah flipped classroom, disokong oleh infrastruktur digital seperti Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) dan perpustakaan digital berjumlah lebih dua juta bahan,” ujar beliau. -MG Perak


