Warna biru Sungai Perak kekal tanda tanya

IPOH – Kerajaan Negeri Perak masih belum dapat mengenal pasti sumber perubahan warna air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik dekat sini yang bertukar kebiruan baru-baru ini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, siasatan yang sedang dijalankan masih belum menemukan keputusan jelas berhubung sumber limpahan yang menyebabkan kejadian itu.

Menurutnya, kerja-kerja mitigasi sedang dilaksanakan, namun kesukaran timbul kerana sisa air yang melimpah itu sudah tidak dapat dikesan.

“Sebab air yang melimpah itu sudah tak dapat dikesan. Jadi, kita tengah buat kerjalah, mitigasi.

“Untuk air sungai menjadi biru itu, siasatan masih dijalankan, jadi saya rasa buat masa ini tiada apa-apa nak diumumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Bahagian Korporat), Anita Amri.

Dalam pada itu, Teh berkata, kelewatan keputusan siasatan berbanding jangkaan awal adalah kerana laporan yang diterima masih gagal menentukan punca pencemaran.

Tambahnya, tiga premis perlombongan yang diarahkan berhenti sementara sebelum ini masih belum mendapat kebenaran untuk menyambung operasi.

“(Premis perlombongan) Yang dihentikan, masih dihentikan operasi. Tapi keputusan siasatan terakhir masih belum keluar,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan negeri telah mengarahkan pemberhentian sementara operasi tiga syarikat perlombongan di Hulu Perak susulan laporan air Sungai Perak bertukar warna kebiruan baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, arahan berkenaan telah dikeluarkan sebaik sahaja kerajaan negeri menerima laporan awal berhubung pencemaran air Sungai Perak yang didakwa berlaku di di Kampung Sungai Papan, Gerik. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sungai Perak bertukar biru: Tiga syarikat perlombongan henti operasi sementara

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI