PARIT – Empat sekeluarga termasuk seorang wanita yang merupakan kumpulan ‘Ismail Gampang’ masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan denda selepas mengaku bersalah melupus barang curi melibatkan lapan pertuduhan berasingan.
Kesemua mereka yang terdiri daripada Ismail Dahalan, 61 (bapa); Husain Dahalan, 64 (bapa saudara); Noraini, 24 dan Nurul Atikah, 18 (anak kandung Ismail) dan Nur Jamaaton Farhanum Zainol Aman, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai di Mahkamah Majistret Parit.
Sementara itu, seorang lagi anak tiri perempuan Ismail, Norhidayah Abdullah, 27 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Ismail yang juga ketua kumpulan ‘Ismail Gampang’ dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melupuskan barang curi berupa rantai emas, gergaji besi dan tabung plastik.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama anak perempuannya, Noraini dan rakan wanitanya Nur Jamaaton Farhanum didakwa dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu empat utas gelang rantai emas kepunyaan seorang wanita yang dilaporkan hilang pada jam 1.30 petang, 4 November 2025.

Pertuduhan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan itu, Ismail dijatuhi hukuman penjara lapan bulan manakala Noraini dihukum penjara empat bulan bermula hari ini dan Nur Jamaaton Farhanum pula didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Ismail turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan melupuskan harta curi iaitu tiga gergaji besi dan tabung plastik masing-masing di Tanjung Blanja, Parit dan Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan pada Julai dan 12 November lalu.
Mahkamah kemudian memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan bermula hari ini.
Bagaimanapun, lelaki itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman berkuat kuasa mulai hari ini.
Noraini dan Nur Jamaaton Farhanum turut dikenakan hukuman penjara dan denda selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan bersama melupuskan harta curi berupa dua keping jongkong emas.
Kedua-dua mereka menjual emas berkenaan di sebuah kedai emas di Taman Sitiawan Maju, Sitiawan, 27 Oktober lalu.

Empat wanita yang terdiri daripada dua beradik dan rakan perempuan yang merupakan ahli kumpulan Ismail Gampang dituduh di Mahkamah Majistret Parit atas kesalahan melupuskan barang curi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR 21 NOVEMBER 2025.
Sementara itu, seorang lagi anak perempuan Ismail, Nurul Atiqah, 18, dan anak tirinya, Norhidayah Abdullah, 27, turut didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua mereka didakwa dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu dua utas rantai leher emas, dua cincin emas, dua subang emas dan dua loket emas pada waktu pagi, 5 November 2025.
Dalam prosiding berkenaan Nurul Atikah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan bermula hari ini manakala Nordhidaya mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Majistret kemudiannya menetapkan 1 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam pertuduhan lain, Norhidayah turut mengaku tidak bersalah mencuri sebentuk cincin emas di sebuah rumah di Kampung Teluk Sareh Pulau Tiga, Kampung Gajah, pada pukul 11.15 malam, 8 November 2025.
Mahkamah kemudiannya membenarkan surirumah berkenaan ikat jamin sebanyak 2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 21 Januari 2025.
Dalam prosiding sama, abang kepada Ismail, Husain Dahalan, 64, diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri seutas jam tangan jenama G-Shock di sebuah rumah di Layang-layang Kanan, 2 November 2025. -MG Perak


