IPOH – Sebanyak tiga daerah di negeri ini iaitu Perak Tengah, Batang Padang dan Manjung terjejas ekoran bencana banjir kilat susulan cuaca hujan lebat, pada Ahad.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, setakat ini tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan dengan dua daripadanya di Perak Tengah dan satu di Batang Padang.
“Dua PPS yang mula dibuka di Perak Tengah adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga dan SK Layang-layang Kiri di Parit.
“PPS di Batang Padang yang dibuka adalah Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru Sungai yang menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga dari kampung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Tambahnya, sementara di Manjung operasi pemindahan mangsa banjir sedang digerakkan pasukan penyelamat untuk menempatkan mereka di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Banjar dan di SK Beruas.

Jelasnya, situasi hujan lebat sekitar jam 6 petang Ahad di sekitar Sitiawan di Manjung telah menyebabkan air telah melimpah memasuki kawasan tersebut,
Pada masa sama JPBN memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air sungai di tiga stesen di Perak melepasi tahap normal.
“Paras air di Stesen Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang berada pada tahap waspada dengan bacaan 22 meter berbanding 21.41 meter aras normal.
“Sementara di Stesen Sungai Bidor Changkat Jong dan Stesen Sungai Slim di Slim River masing-masing pada aras bahaya dengan bacaan 3.77 meter dan 26.38 meter,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


