TAPAH – Usaha memperkasa industri Kopi Perak terus diperkukuh apabila kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak menubuhkan Pusat Pemprosesan Kopi Perak, dekat sini, yang pertama di negeri ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pusat pemprosesan itu dibangunkan di atas tanah seluas 0.04 hektar dengan kos sebanyak RM100,000.
Katanya, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melestarikan pembangunan industri kopi serta memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai antara pengeluar utama kopi Liberica.

“Pusat itu dilengkapi mesin dan peralatan pemprosesan utama termasuk ‘depulper’, ‘husker’, ‘dryer’, ‘moisture meter’, dan ‘grading machine’.
“Di samping itu juga terdapat kemudahan rumah hijau, serta ruang operasi yang turut berfungsi sebagai ‘one stop centre’ bagi sesi libat urus bersama petani dan usahawan.
“Kemudahan menyeluruh ini dijangka meningkatkan kecekapan rantaian pemprosesan, mengurangkan kerugian selepas tuaian serta menjamin kelestarian kualiti biji kopi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pemprosesan Kopi Perak, Jalan Damai dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Mengulas lanjut Mohd Zolkafly berkata, pusat pemprosesan yang mempunyai kapasiti memproses 12 metrik tan biji kopi dalam tempoh setahun itu akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Disember depan.
Kata beliau, kewujudan pusat tersebut juga akan membantu memudahkan petani untuk menghantar biji kopi bagi pemprosesan dalam tempoh yang lebih singkat serta sistematik.

“Kerajaan negeri ada membawa cadangan kepada kementerian berkaitan tentang usaha kita memperluas pusat ini secara skala lebih luas.
“Dan ia termasuk kepada penggunaan teknologi moden seperti IoT (Internet Kebendaan) bagi meningkatkan pengeluaran dan pemprosesan kopi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zolkafly memberitahu, sehingga kini jumlah keluasan aktif tanaman kopi Liberica di Perak adalah 29.41 hektar, dengan sasaran produktiviti 8 metrik tan per hektar setahun, menghasilkan kira-kira 235 metrik tan kopi bernilai RM1.76 juta setahun.
Justeru kata beliau, dengan sasaran penambahan 15 hektar kawasan tanaman baharu menjelang tahun 2026, industri kopi di negeri ini dijangka terus berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita juga boleh usahakan kolaborasi bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan menanam kopi secara campuran dengan tanaman getah sebagai tanaman sampingan.
“Langkah ini dilihat boleh membantu usaha kerajaan negeri memperluas keluasan tanaman dan meningkatkan bilangan pengusaha kopi, terutama di kawasan luar bandar,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengeluaran Kopi Perak 235 metrik tan, nilai pasaran cecah hampir RM2 juta


