IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat pagi ini kepada 2,678 orang melibatkan 845 keluarga berbanding 1,786 orang daripada 554 keluarga malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, ke semua mangsa berlindung di 29 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Manjung, Perak Tengah, Larut Matang dan Selama (LMS), Hilir Perak, Bagan Datuk dan Muallim.
Katanya, Manjung terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 1,310 orang daripada 401 keluarga di 13 PPS.
“Seterusnya diikuti Perak Tengah menempatkan 770 mangsa melibatkan 256 keluarga di tujuh PPS dan daerah Bagan Datuk seramai 242 mangsa terdiri daripada 82 keluarga di tiga PPS.
“Di daerah Hilir Perak, seramai 198 mangsa melibatkan 58 keluarga ditempatkan di dua PPS, Muallim merekodkan 92 mangsa dengan 28 keluarga di dua PPS selain LMS mencatatkan 66 mangsa dengan 20 keluarga berlindung di dua PPS,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Bidor (Changkat Jong) yang merekodkan bacaan 4.59m berbanding paras normal sekitar 2m manakala Sungai Slim (Slim River) mencatat 27.82m berbanding paras normal 23.50m. -BERNAMA


