IPOH – Kerajaan Negeri melalui Lembaga Air Perak (LAP) membelanjakan hampir RM32 juta bagi pelaksanaan subsidi air percuma dan pemberian rebat bil air, sehingga Oktober lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut merupakan usaha LAP untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya, subsidi air percuma diberikan kepada golongan miskin dengan kadar 25 meter padu air sebulan atau bersamaan dengan kadar RM20.40.
“Subsidi air percuma disalurkan kepada golongan miskin dan termiskin yang berdaftar serta menerima bantuan bulanan daripada JKM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Selain itu, rebat bil air sebanyak RM4 sebulan turut diberikan kepada semua pengguna akaun domestik di negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Tambah Saarani, kerajaan negeri sentiasa menilai keperluan semasa bagi menambah baik bantuan mengikut keperluan, khusus masyarakat B40 di bandar dan luar bandar.
Namun ujar beliau, sebarang usaha kepada peluasan skim bantuan adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri serta komitmen dasar semasa.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri komited memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Perak.
“Ia dengan penekanan terhadap penyelarasan antara jabatan dan agensi pelaksana supaya agihan bantuan dilaksanakan secara adil, tidak bertindih dan tepat kepada kumpulan sasaran,” kata beliau.
Justeru Saarani berkata, komitmen membantu meringankan beban rakyat diteruskan dalam Belanjawan 2026, melalui peningkatan peruntukan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM31 juta kepada RM37 juta.
Kata beliau, turut dinaikkan peruntukan bagi Kad Perak Sejahtera daripada RM24 juta kepada RM24.5 juta, serta Program Bantuan Kotak Makanan daripada RM5 juta kepada RM6 juta.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan peruntukan baharu bagi Program Sayangi Rumahku sebanyak RM3 juta sebagai dana pusingan di bawah Yayasan Perak bagi membantu keperluan perumahan rakyat,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak, Pulau Pinang meterai MoU jual air terawat


