IPOH – Sebanyak 80 peratus penerima Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) menunjukkan peningkatan pendapatan menerusi bantuan tersebut.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia melibatkan 505 usahawan daripada 713 penerima geran tahun 2024.
Menurutnya, mereka terdiri daripada usahawan informal dan mikro termasuk penjaja serta peniaga kecil dengan geran maksimum RM2,000.
“Daripada 713 penerima geran ini yang keseluruhannya adalah usahawan dalam kategori informal dan mikro termasuk penjaja dan peniaga kecil melibatan 90 peratus daripada mereka atau 629 usahawan turut memberikan pelbagai maklumbalas.
“Seramai 18 orang meningkat lebih 100 peratus; 41 orang antara 51 hingga 99 peratus; 146 orang antara 21 hingga 50 peratus dan 300 orang meningkat antara 1 hingga 20 peratus.
“Geran tersebut memfokuskan bantuan peralatan, sistem pemasaran dan peningkatan keupayaan perniagaan dengan sasaran utama usahawan yang mempunyai nilai jualan tahunan tidak melebihi RM200,000,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan lisan dari Nadziruddin Mohamed Bandi (PN-Changkat Jong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Salbiah turut berkongsi beberapa kisah kejayaan antaranya pemohon program e-kasih di bawah bimbingan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Perak yang menerima geran ini iaitu Hamsiah Mahmoud yang mengusahakan produk makanan di Ipoh.
Katanya, pendapatan Hamsiah sebelum menerima geran dalam lingkungan RM5,000 tetapi selepas enam bulan menerima bantuan, pendapatannya meningkat ke RM15,000 keseluruhan.
“Zuriati Mohd Zabidi daripada Taiping yang mengusahakan kambing perap memperoleh pendapatan RM125,000 enam bulan sebelum menerima bantuan dan selepas enam bulan meningkat hampir RM170,000.
“Seorang lagi penerima geran iaitu Norfarahin Mohd Isa dari Ipoh yang mengusahakan nasi lemak, yang menerima bantuan geran iaitu peti sejuk, pemanas nasi dan periuk memasak nasi telah meningkat pendapatan sekali ganda kepada RM28,000,“ ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Salbiah menjelaskan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (SteP) turut mempunyai sasaran tahunan iaitu iaitu minimum sekurang-kurangnya 1,000 usahawan kategori informal dan mikro di negeri ini.
“Menerusi sasaran itu, usahawan tersebut boleh mendapat manfaat dari pelbagai program peningkatan kemahiran, latihan, bantuan kewangan, bukan kewangan dan keupayaan perniagaan berkaitan aspek pendigitalan perniagaan yang dianjurkan oleh STeP atau dengan kerjasama lain-lain agensi persekutuan dan negeri berkaitan keusahawanan di Perak,“ jelasnya.
Tambahnya, sepanjang tahun ini, STeP turut melaksanakan lebih daripada 50 program pembangunan usahawan dan terbuka kepada semua sektor dan golongan usahawan termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
838 usahawan terima manfaat GeRAK berjumlah RM1.35 juta – Exco


