IPOH – Perak tidak terjejas dengan tindakan Kerajaan Persekutuan melaksanakan langkah moratorium pengeksportan mentah unsur nadir bumi (REE) pada fasa jangka pendek bermula 2025 hingga 2027.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani berkata, ia ekoran kerajaan negeri memperoleh kelulusan khas bagi melaksanakan projek rintis tersebut di Gerik.
“Ia memang polisi Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan bahan mentah (REE) di eksport keluar kecuali Negeri Perak kerana kita masih dalam fasa ‘pilot’ projek.
“Kita dapar kebenaran kgas untuk mengeksport kerana kalau todak barang yang kita ekstrak keluar itu akan membazir.
“Jadi dari masa ke semasa Perak diberikan kebenaran itu dan sehinggalah pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menghentikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Rabu.
Tambah Saarani, Kerajaan Negeri Perak juga sedang berusaha membangunkan industri NREE dari proses awal mengekstrak, memisahkan dan menghasilkan sendiri produk akhir.
“Kita juga sedang berusaha untuk membina industri NREE ini bukan sahaja industri pendahuluan (ekstrak), pertengahan untuk memisahkan elemen berkenaan tetapi juga yang penting industri hiliran.
“Kita nak bangunkan sendiri industri yang bolehg membangun dan menghasilkan produk akhir,” katanya.
Terdahulu kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah moratorium pengeksportan mentah unsur nadir bumi (REE) pada fasa jangka pendek bermula 2025 hingga 2027, sebagai sokongan kepada pembangunan industri di peringkat pertengahan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan pada masa sama, rundingan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara giat dijalankan untuk memastikan loji pemprosesan tempatan bagi penulenan dan pemisahan elemen REE, kilang pembuatan logam atau aloi REE, serta kilang pembuatan super magnet diwujudkan di Malaysia. -MG Perak


