TAPAH – Seorang lelaki nyaris maut selepas trak pikap dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 60 meter di Batu 13, Jalan Pahang di sini lewat malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 11.42 malam.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi didapati sebuah trak pikap jenis Ford Ranger terlibat dalam kemalangan membabitkan seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun.
“Ketua operasi bertindak melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan sistem takal dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang cedera.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada kenderaan itu kemudiannya dibawa naik dan diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 1.02 pagi dan tamat sepenuhnya 22 minit kemudian. – MG Perak.
Artikel Berkaitan:
Lori jatuh gaung, 12 kakitangan Jabatan Perhutanan, malim gunung cedera


