KAMPAR – Kesemua 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Perak telah mencapai status bandar mampan dengan meraih purata markah 94.90 peratus pada tahun ini berbanding 91.50 peratus pada tahun lalu.
Keputusan pencapaian itu diperoleh melalui pelaksanaan Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) 2.0 di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha memperkukuh bandar mampan diteruskan melalui sistem MURNInets 2.0 yang menilai daripada pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi, fizikal dan tadbir urus di peringkat PBT.
Katanya, kejayaan yang dicapai kesemua PBT di Perak itu membuktikan kemajuan yang signifikan dalam pengurusan kebersihan bandar, penyelenggaraan infrastruktur, ruang awam dan kesejahteraan komuniti.
Namun beliau berkata, pencapaian itu tidak harus menjadi penamat kerana rakyat sentiasa mengharapkan perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif daripada semua PBT.

“Matlamat utama kita ialah memastikan rakyat menikmati ruang hidup yang berkualiti.
“Kita mahu melihat perumahan yang selesa, kawasan kediaman yang tersusun, jaringan pengangkutan yang cekap, ruang rekreasi yang selamat dan peluang ekonomi yang lebih luas.
“Semua ini memerlukan perancangan yang teliti, penyelarasan yang mantap serta pelaksanaan yang berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 Peringkat negeri Perak di Dewan Bandaran Kampar, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching serta Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli.
Pada majlis Saarani turut menyampaikan anugerah kepada kesemua 15 wakil PBT yang berjaya purata markah bandar mampan melebihi 90 peratus ke atas dengan Majlis Daerah Kerian menerima anugerah Bandar Paling Mampan 2025.

Dalam pada itu Menteri Besar Perak berkata, semua PBT perlu memastikan pembangunan baharu mematuhi prinsip ruang hijau yang mencukupi, sistem saliran mesra alam dan sebagainya, agar rakyat menikmati hidup yang lebih sejahtera.
Jelas beliau, dalam konteks negeri Perak, perancangan bandar juga mempunyai peranan besar dalam membentuk masa depan anak muda.
“Bandar yang dirancang dengan baik akan menjadi ruang hidup yang memupuk kreativiti, memudahkan pembelajaran dan memberi peluang pekerjaan yang lebih meluas.
“Ini adalah pelaburan jangka panjang negeri untuk memastikan generasi akan datang hidup dalam suasana yang lebih makmur dan harmoni,” katanya.

Sementara itu Shy Ching berkata, Perak kini sedang berusaha meluaskan status Bandar Pintar kepada lapan PBT dalam usaha menjadikan kesemua PBT di negeri ini mencapai status berkenaan seiring dengan usaha di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Perak 2040.
“Ada lapan lagi PBT yang kita sasarkan untuk dijadikan sebagai Bandar Pintar (termasuk Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Majlis Daerah Lenggong, dan Majlis Daerah Gerik) yang mana ia juga antara perkara yang digariskan pada Belanjawan Perak 2026,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Saarani turut merasmikan ‘Kampar Integrated Operations Centre’ atau Pusat Operasi Bersepadu Majlis Daerah Kampar (IOC) yang dibangunkan dengan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia berjumlah RM400,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah seiring pembangunan TVET di Perak


