Tiga cedera, kepala treler ‘terbang’ kena kereta

TAIPING – Tiga cedera selepas kepala sebuah treler tercampak ke laluan bertentangan dan mengenai sebuah kereta di Kilometer 210 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan antara laluan Taiping Utara dan Changkat Jering di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 5 petang.

“Siasatan mendapati, kemalangan itu melibatkan sebuah treler kontena dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama kelindan berusia 25 tahun yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh.

“Treler itu kemudiannya telah terbabas sendiri lalu terlanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan kepala treler tercampak ke laluan bertentangan (arah utara) dan mengenai sebuah kereta jenis Honda City 1.5L I-Vtec yang dipandu wanita berusia 56 tahun.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu dan kelindan lori serta pemandu kereta mengalami kecederaan. Kesemua mereka dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59.

“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan diminta tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shahrin Mohamad di talian 017-9266286,“ ujarnya.

Dalam perkembangan sama, melalui ciapan Plustrafik di X, insiden itu menyebabkan laluan di arah selatan sesak sehingga 11 kilometer manakala laluan bertentangan turut mengalami kesesakan sehingga tujuh kilometer.

Kejadian yang berlaku sejak 4.45 petang itu menyebabkan treler menghalang laluan kenderaan lain dan kerja-kerja pengalihan dilakukan bagi menyelesaikan kesesakan di kedua-dua laluan tersebut.

Insiden itu selesai sepenuhnya kira-kira 10.36 malam. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI